Berita

MPP jadi perhubung rakyat dengan kerajaan – Tengku Adnan

MP Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPP Wilayah Persekutuan Putrajaya di Dewan Utama Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya, pagi Sabtu.
- Diterbit 27 Jun 2020 5:15 AM MYT

SEMUA enam ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Putrajaya disarankan supaya dapat berperanan sebagai penghubung antara rakyat dengan agenda direncanakan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, fungsi yang digalas oleh setiap MPP adalah memastikan aspek kebajikan dan keperluan rakyat peringkat akar umbi dapat diterjemah dalam setiap proses pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, perkara ini sangat kritikal untuk memastikan setiap dasar atau polisi yang digubal kerajaaan dapat dinikmati oleh kelompok rakyat dan bersama dalam arus pemodenan negara.

“Kesemua MPP dilantik memegang amanah yang besar, berfungsi sebagai mata serta juga telinga bagi kerajaan untuk memastikan rakyat diwakili dapat dibela dan diketengahkan apa jua masalah yang berbangkit.

“Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin termasuk turun padang meninjau setiap keperluan mereka (rakyat) kawasan yang diwakili supaya mereka ini tidak terpinggir serta merasa hati hingga akhirnya ia diterjemah dalam kertas undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPP Wilayah Persekutuan Putrajaya di Dewan Utama Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.

Yang hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Aminuddin Hassan; Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, Datuk Azizi Ahmad Termizi, Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz dan semua 102 orang Ahli Jawatankuasa MPPWP Putrajaya.

Dalam majlis yang sama, turut menyaksikan dua lagi wakil Sub Zon MPPWP Putrajaya dilantik ke jawatan tersebut sebagai salah satu mekanisma kelancaran pengurusan MPP di segenap lokasi Pusat Pentadbiran Kerajaan itu.

Bagi Tun Faisal Ismail juga penduduk Putrajaya menyifatkan perlantikan ke semua enam muka baharu sebagai MPPWP Putrajaya kali ini amat significan dalam usaha meletak aspirasi rakyat sebagai keutamaan kerajaan.

“Dengan penambahan dua orang lagi wakil sub zon MPPWP Putrajaya menjadikanya enam wakil, maka setiap proses pengurusan dan pentadbiran masyarakat menjadi lebih tersusun dan efektif.

“Usaha ini juga sejajar dengan perancangan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang sedang mengusahakan pembangunan holistik Putrajaya termasuk menjadikannya hab sukan dan pusat rekreasi kondusif untuk semua kelompok rakyat,” katanya.- Oleh SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas