Berita

MPP dan penduduk sepakat bersama jaga keselamatan

KEJaDian pokok tumbang berlaku di kawasan perumahan penduduk di Jalan 1/5C, Setiawangsa perlu tindakan segera bagi mengelak kejadian sama berulang.
- Diterbit 29 November 2020 6:34 AM MYT

MAJLIS Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 4, Setiawangsa dan penduduk setempat sepakat menjaga keselamatan komuniti bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana bencana alam.

Pengerusinya Fedileh hashim berkata, perkara berkaitan perlindungan serta keselamatan antara keutamaan ditumpu ketika ini kerana risiko kemungkinan berlakunya bencana akibat faktor cuaca ketika ini memasuki musim tengkujuh.

Katanya, keadaan ini membawa hujan lebat dan angin kencang seterusnya berpotensi memberi ancaman kepada penduduk setempat terutama kejadian pokok tumbang berulang seperti mana kejadian yang berlaku pada 18 November lalu.

“Kejadian berlaku di awal pagi, ketika hujan lebat dan angin kencang menyebabkan sebatang dari pokok tua tumbang dan merosakkan pagar serta bangunan perumahan.

“Banyak pokok besar di sekitar penempatan ini, perlu ditebang bagi
mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya selepas Gotong Royong Membersihkan Kawasan yang dilaksanakan oleh MPP Sub Zon 4, Setiawangsa.

Hasil kerjasama semua pihak termasuk dewan Bandaraya Kuala Lumpur (dBKL) selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sesi membersihkan kawasan terjejas itu telah berjaya diselesaikan dalam masa hanya dua jam.

“Pihak MPP Sub Zon 4 telah kenal pasti beberapa pokok berusia dan berisiko untuk tumbang, buat masa ini kami sedang mengatur tindakan lanjut termasuk dengan kerjasama dBKL untuk tebang pokok-pokok berkenaan.

“Selain itu, kami MPP serta Persatuan Penduduk seperti Perumahan Kenari, Kemboja, Tempua dan sekitar gerai penjaja Jalan 1/56 Setiawangsa, ada wujudkan kutipan untuk tampung kos menebang pokok dan kerja pembersihannya agak tinggi iaitu mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas