Berita

MPN ikrar sokong Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu. DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu.
- Diterbit 27 Ogos 2021 4:38 AM MYT

MAJLIS Profesor Negara (MPN) menyeru, kerajaan memanfaatkan kepakaran, daya intelek dan pengetahuan serta penyelidikan dari institusi pengajian tinggi dalam mengurus kementerian mahupun agensi di bawahnya.

SHAMSUL AMRI

Menerusi kenyataan bersama Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Pengerusinya, Prof Ulung Shamsul Amri Baharuddin, kerajaan baharu yang ditubuhkan pada 20 Ogos lalu sewajarnya menjadikan pengetahuan dan penyelidikan sebagai asas pentadbiran , penggubalan dasar-dasar serta program-program strategik negara.

“MPN percaya Malaysia kini sudah pun mempunyai jumlah tenaga pakar yang mencukupi dan berwibawa dalam pelbagai bidang bagi
membantu kerajaan mahupun negara dalam mengurus hala tuju serta agenda pembangunan negara.

“Dalam konteks ini, MPN berikrar untuk memberikan segala bentuk sokongan dan kerjasama kepada pihak kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha menangani masalah semasa di samping untuk terus meningkatkan pencapaian dalam pembangunan, kestabilan dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

RADUAN

Sehubungan itu, MPN juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mempelajari apa yang tersurat dan tersirat daripada pengalaman menghadapi kekusutan politik serta krisis kepimpinan negara yang baru berlalu.

Ini kerana, MPN berpandangan, pengalaman tersebut dapat membantu masyarakat pada masa hadapan, supaya tidak lagi menjadi mangsa kerakusan kuasa yang telah menjadi budaya politik dalam kalangan golongan tertentu.

Dalam pada itu, MPN menyatakan, pihaknya dengan penuh takzim, merafak sembah menjunjung kasih atas kearifan dan kebijaksanaan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berjaya menyelesaikan kekusutan politik yang berlaku bertunjangkan garis panduan dan prinsip demokrasi Perlembagaan Persekutuan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas