MPFL 2020 kembali lagi
PIALA MPFL 2020 kategori lelaki dan wanita.

MPFL 2020 kembali lagi

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2020 akan bermula Sabtu ini, 14 Mac hingga 26 September 2020 melibatkan 22 perlawanan liga.

Selain juara bertahan, Selangor Mac, MPFL 2020 akan disertai oleh Pahang Rangers FC, Terengganu, Perak, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur City.

Saingan bagi edisi kali ini turut menyaksikan penambahan empat buah pasukan baharu iaitu Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan juga KPM-PST Mustangs sekali gus menyaksikan 12 pasukan akan merebut gelaran juara MPFL 2020.

Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM berkata, MPFL 2020 akan lebih kompetitif dan sengit.

“Ia berikutan penambahan pasukan dan jumlah perlawanan serta pengenalan kuota seorang pemain import bagi setiap pasukan,” ujar beliau.

Tambahnya, format pertandingan akan dimainkan secara liga dua pusingan. Lapan pasukan terbaik MPFL 2020 layak untuk beraksi merebut juara Piala Futsal Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan Oktober ini.

“Tiga perlawanan akan berlangsung pada Sabtu ini menyaksikan pasukan Negeri Sembilan bertemu Perak, Pahang Ranger bertemu Sarawak dan Kuala Lumpur bertemu Pulau Pinang.

Sementara itu, tiga lagi perlawanan akan dilangsungkan pada Ahad, kata beliau.

Dalam masa sama, tujuh rakan penaja rasmi akan turut serta bagi memperkasakan MPFL 2020. Antaranya Yoodoo, Joma, 100Plus, Astro, Firefly, Kaki Jersi dan Cuckoo.

CATEGORIES
TAGS