Berita

MOTAC harap pelancongan domestik kembali rancak pada Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara

MOTAC telah mencadangkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar pemberian suntikan vaksin dilaksanakan secara berfasa bermula dengan 30,530 tenaga kerja dalam beberapa sub-sektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kredit foto: Bernama
- Diterbit 16 Jun 2021 9:26 AM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap aktiviti pelancongan domestik kembali rancak selepas kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti pergerakan rentas negeri dalam fasa keempat Pelan Pemulihan Negara, yang dijangka pada November ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia juga tertakluk kepada bilangan kes COVID-19 rendah, sistem kesihatan awam berada di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti kelompok.

Beliau berkata MOTAC telah mencadangkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar pemberian suntikan vaksin dilaksanakan secara berfasa bermula dengan 30,530 tenaga kerja dalam beberapa sub-sektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Perkara ini penting kerana tenaga kerja dalam sektor pelancongan perlu bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia untuk mempunyai daya ketahanan diri melawan virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata MOTAC telah mengambil inisiatif menawarkan fasiliti atau aset yang bersesuaian di bawah kementerian itu untuk dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) sekiranya diperlukan MOSTI bagi mempercepatkan proses vaksinasi, dan antara lokasi yang dikenal pasti boleh dijadikan PPV ialah Kompleks Kraf, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Hotel Seri Malaysia di seluruh negara.

MOTAC juga telah bekerjasama dengan pihak industri seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) bagi tujuan penggunaan fasiliti hotel serta pusat konvensyen untuk dijadikan PPV, katanya. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas