Berita

Morbidelli, Quartararo menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dan 14

- Diterbit 9 November 2020 3:27 AM MYT

NASIB tidak menyebelahi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) hari ini dalam Grand Prix Motosikal Eropah selepas kedua pelumbanya terus ketinggalan dalam pungutan mata keseluruhan kejohanan dunia setelah gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 teratas.

Di Litar Ricardo Tormo, Valencia Sepanyol yang mencabar, Franco Morbidelli hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan catatan masa 41 minit 54.914 saat sementara Fabio Quartararo yang terjatuh pada pusingan pertama dan kemudian bangkit meneruskan perlumbaan, menduduki tempat ke-14 (42:16.936s).

Pelumba tuan rumah daripada pasukan Suzuki Ecstar menguasai perlumbaan apabila Joan Mir (41:37.297s) dan Alex Rins (41:37.297s) masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua sementara Pol Espargaro daripada Red Bull KTM Factory Racing (41:38.500s) menduduki tempat ketiga.

Dengan berbaki dua perlumbaan dalam musim yang terkesan akibat COVID-19, Mir berada di tangga teratas dengan 162 mata, 37 mata di hadapan Quartararo pelumba SRT dari Perancis dan rakan sepasukannya Rins yang berkongsi 125 mata, pelumba Monster Yamaha Maverick Vinales di tangga keempat dengan 121 mata dan pelumba SRT dari Itali Morbidelli di tempat kelima dengan 117 mata.

Keadaan serupa juga dialami pasukan Petronas Sprinta Racing dalam kategori Moto2 apabila pelumbanya dari Sepanyol Xavi Vierge menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, 8.746s di belakang pemenang perlumbaan Marco Bezzecchi daripada Sky Racing Team VR46 (40:06.441s).

Pelumba Malaysia Kasma Daniel Kasmayudin daripada Onexox TKKR SAG Team menduduki tempat ke-21 dalam kalangan 22 pelumba yang menamatkan perlumbaan, 44.355s di belakang Bezzecchi sementara rakan senegara Hafizh Syahrin Abdullah yang baharu mengumumkan beliau menyertai NTS RW Racing GP dalam musim 2021 gagal menamatkan perlumbaan.

Dalam Kelas Moto3, seorang lagi pelumba Malaysia daripada pasukan Petronas Sprinta Racing Khairul Idham Pawi hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 sementara rakan sepasukannya John McPhee terkandas seawal pusingan kelima biarpun bermula dari kedudukan pole. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas