Berita

Moratorium SPWP secara automatik

MORATORIUM selama enam bulan bermula Julai. PENANGGUHAN pembayaran pinjaman perumahan oleh Yayasan Wilayah
- Diterbit 23 Julai 2021 12:00 PM MYT

MORATORIUM bagi pinjaman perumahan melalui anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) dilakukan secara automatik.

ZAIZALNIZAM

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, moratorium tersebut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 hingga 14 Jun 2021 dan ia sejajar bantuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Moratorium dilaksanakan secara automatik yang mana peminjam tidak perlu memohon. Namun bagi mereka yang berkemampuan, boleh terus membayar seperti biasa.

“YWP bersetuju menangguhkan bayaran balik skim pembiayaan pembelian rumah (SPWP) selama enam bulan bagi meringankan beban peserta yang terlibat di bawah pinjaman melalui anak syarikat YWP,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, penangguhan bayaran balik tersebut melibatkan kos sebanyak RM10.89 juta.

“Mereka akan mula membayar seperti biasa setelah habis tempoh moratorium yang diberi,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau lagi, peserta Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) juga turut diberi penangguhan bayaran balik selama enam bulan bermula Julai 2021.

“Namun baki yang ada akan digunakan untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas untuk digunakan oleh mereka bagi menambah modal serta yang tidak mempunyai peralatan berniaga,” ujarnya.

Terdahulu, YWP juga mengorak langkah dengan menyediakan platform dan akses kelas digital SPM Mahir tutor yang memberi manfaat kepada 20,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas