Berita

Mohd Dzulfaizal Ab Manan terajui MPPWP Labuan

ANNUAR (depan, kanan) menyampaikan watikah pelantikan MPPWP Labuan kepada Mohd Dzulfaizal di Wisma Perbadanan Labuan hari ini. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 7 Jun 2020 1:01 PM MYT

LABUAN – Setiausaha UMNO Bahagian Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Labuan bersama lima pengerusi zon kecil baharu bagi penggal 2020-2021 berkuat kuasa April lalu.

Pengerusi zon kecil baharu ialah Rahim Mohd Salleh dari PAS – Zon Kecil 1; Chew Chin Hui (MCA) – Zon Kecil 2;  Omar Masir (UMNO) – Zon Kecil 3; Ahmad Junid Mohd Aling (PAS) – Zon Kecil 4 dan wakil BERSATU, Fadilah Eddy Abdul Khalid – Zon Kecil 5.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat penyusunan semula pentadbiran MPPWP bagi membolehkan perkhidmatan kepada komuniti diberikan menyeluruh hingga ke akar umbi.

“MPPWP Sub Zon WP Labuan telah ditambah kepada lima Sub Zon berbanding tiga Sub Zon sebelum ini.

“Penyusunan semula dibuat selepas enam tahun MPPWP ditubuhkan agar dapat mengukuhkan lagi objektif penubuhannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah MPPWP di Wisma Perbadanan Labuan (PL) di sini hari ini.

BARISAN anggota MPPWP Labuan yang baharu bergambar selepas menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa hari ini.

Annuar berkata, pelantikan itu juga bagi membolehkan anggota MPPWP memainkan peranan menerajui perubahan minda masyarakat khususnya dalam usaha-usaha pembaharuan serta penambahbaikan yang dibawa kerajaan.

“Dalam situasi menangani pandemik Covid-19, MPPWP perlu berperanan sebagai pasukan barisan hadapan bagi meningkatkan kesedaran dan literasi dalam kalangan komuniti Labuan untuk mengamalkan normal kehidupan baharu.

“Malah secara tidak langsung ia juga memberikan impak positif di mana Labuan kini adalah berstatus zon hijau,” katanya.

Beliau menegaskan, barisan MPPWP baharu perlu sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama pihak kerajaan dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta berintegriti.

“Ini bagi memastikan semua inisiatif dan bantuan kerajaan dapat diterima dan difahami dengan jelas oleh rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas