Berita

MN akan bincang penyertaan PPBM malam ini

- Diterbit 19 Oktober 2020 8:27 AM MYT

MUAFAKAT Nasional (MN) yang dianggotai UMNO dan PAS mungkin akan membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu secara rasmi dalam satu mesyuarat yang dijadualkan malam ini.

Setiausaha Agong Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, perkara itu boleh dibincangkan kerana ia pernah diminitkan dalam mesyuarat sebelum ini.

“Mungkin kemasukan Bersatu itu boleh dibincangkan kerana ia ada dalam minit mesyuarat lepas”.

“Kami akan membincangkan bagaimana kami akan bekerjasama. Yang penting ialah kerjasama kita mengutamakan perpaduan politik Melayu, ” katanya selepas operasi pembersihan awam di sini hari ini.

Kata Annuar, sebuah memorandum persefahaman (MoU) dan piagam baru mungkin diperlukan dan ia tidak boleh menggunakan kaedah terdahulu melibatkan UMNO dan PAS sebelum ini.

“Kerjasama yang UMNO dengan Pas dulu lama, sekarang ini kita kena draf MoU yang baharu, piagam dan sebagainya.

“Jadi kalau Bersatu masuk tentu ia tidak boleh ambil sahaja piagam lama, MoU lama. Jadi macam mana cara kerjasama itu kita bincang, yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat MN malam ini akan turut disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Lazimnya timbalan-timbalan presiden yang akan mempengerusikannya, saya turut menjadi ahli dan urusetianya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas