Agama

Minggu ketiga Akademi Qurra’ angkat tema Solidariti Buat Turkiye

Zulkarnaen Mokhtar.
- Diterbit 14 Februari 2023 3:51 PM MYT

MINGGU ketiga program Akademi Qurra’ yang ditayangkan di TV AlHijrah pada Sabtu lalu memilih tema Kemanusiaan iaitu Solidariti Buat Turkiye.

Ia susulan gempa bumi melanda Turkiye pada 6 Februari lalu yang sudah mengorbankan lebih 20,000 mangsa.

TILMIZ Adam (tengah) bersama Mudarris Ammar Mukhlis (kiri) dan Fakhrul selaku hos.

Melihat pemilihan tema sebagai elemen penting dalam mewujudkan ‘mood’ yang sesuai kepada peserta, menurut Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar tema yang dipilih dilihat sesuai dengan keadaan semasa.

“Kita mahu peserta ini lebih sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sebagai peserta Akademi Qurra’ mereka juga wajib memenuhi keperluan semasa.

“Jadi kami di pihak pengurusan program juga mengambil bahagian dalam memastikan perjalanan program ini selari dengan objektif.

“Untuk minggu hadapan kami juga sudah memilih peristiwa Israk Mikraj sebagai tema untuk minggu keempat,” katanya.

TILMIZ Saifullah menang Anugerah Alunan Terindah.

Minggu ketiga Akademi Qurra’ menyaksikan penyingkiran Tilmiz Adam.

Berumur 19 tahun, Tilmiz Adam atau Adam Hakimi Khairulnizam adalah qari di bawah bimbingan Mudarris Ammar Mukhlis.

Mengakui kecewa dengan penyingkiran itu, namun bagi Tilmiz Adam ini juga adalah permulaan baharu buat dirinya.

“Ikutkan kecewa tetapi saya anggap semua teguran yang diberikan sebagai peluang untuk saya memperbaiki diri.

“Walaupun tersingkir, saya tidak melihat ini sebagai noktah kepada perjuangan saya. Dengan pengalaman yang saya ada melalui program Akademi Qurra’ ini saya akan gunakan untuk mencapai cita-cita saya bergelar Johan Qari Antarabangsa,” katanya.

BARISAN juri pada minggu ketiga Akademi Qurra’ TV AlHijrah.

Tilmiz Fahmi berada dikedudukan pertama diikuti Tilmiz Akasyah dan ketiga Tilmiz Saifullah. Sementara, Tilmiz Saifullah juga mendapat Anugerah Alunan Terindah.

Turut mencuri tumpuan pada malam itu tentunya komen daripada jemputan iaitu Ustaz Dr. Anuar Hasin terhadap peserta yang dianggap ‘keras’.

Menurut Dr. Anuar, ini adalah cara beliau memastikan setiap peserta sedar akan kelemahan bacaan yang ada pada malam itu.

“Saya tidak mahu peserta terlalu selesa, mungkin jika hanya berikan komen-komen yang baik ada yang tidak sedar akan kelemahan sekali gus menyebabkan tiada penambahbaikan yang dibuat.

“Memang ada peningkatan dalam peserta, cumanya pertandingan ini masih berbaki beberapa minggu dan perlu ada perubahan yang lebih baik untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, minggu keempat sebagai waktu genting buat peserta, antara yang ditekankan Dr. Anuar juga keperluan peserta untuk lebih berani mencipta kelainan dalam bacaan.

“Minggu keempat mereka perlu menonjolkan variasi dalam bacaan dan tidak hanya statik dalam satu taranum sahaja. Kepada guru-guru mereka juga, penting untuk memastikan pelajar-pelajar ini diberikan pendedahan yang baik untuk beraksi pada minggu akan datang.

“Apa yang ingin saya tegur juga, tajwid perlu diberikan perhatian agar tidak melakukan kesalahan yang ketara,” katanya.

PENGURUS Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar.

Sementara itu, Zulkarnaen tidak melihat ada pihak yang akan mempertikaian teguran yang dibuat juri.

Jelasnya sesuai dengan tempoh program, minggu ketiga menjadi waktu penting untuk peserta mendapat seberapa banyak maklum balas dalam memberi peluang kepada mereka memperbaiki bacaan.

“Bagi saya teguran yang dibuat juri sesuai untuk peserta memahami kelemahan yang mereka miliki. Dalam program ini ada penyingkiran dan mereka perlu faham akan kehendak juri. Saya fikir jika tiada komen yang menjelaskan kesalahan, peserta akan terus berada pada tahap selesa.

“Jadi bila mereka tahu akan kesilapan yang dilakukan dan faham cara untuk memperbaikinya sekali gus peserta ini akan berusaha untuk memperbaikinya,” katanya.

Program Akademi Qurra’ dihoskan oleh Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Manakala Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas