Berita

Minggu keenam persidangan Dewan Rakyat antara yang signifikan

- Diterbit 19 Ogos 2020 1:50 AM MYT

PERSIDANGAN Dewan Rakyat minggu keenam walaupun hanya berlangsung selama dua hari, namun boleh dikatakan antara minggu yang signifikan.

Pertama, ia menyaksikan bajet tambahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membiayai antara lain, kementerian-kementerian baharu yang diwujudkan, telah diluluskan.

Kedua, ia secara tidak langsung menzahirkan jumlah sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri apabila Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 itu diluluskan menerusi undi belah bahagi.

Undi belah bahagi menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 106 menolak dan lima tidak hadir.

Ini adalah undi belah bahagi kedua sidang Dewan Rakyat di bawah kerajaan PN yang mendapat sokongan majoriti dan diluluskan.

Undi belah bahagi pertama yang mendapat sokongan majoriti adalah usul Muhyiddin supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mengosongkan jawatan berkenaan yang menerima sokongan 111 undi berbanding 109 undi menolak.

Minggu ini juga menyaksikan buat kali pertama tempoh undi belah bahagi dipanjangkan dengan tambahan 10 minit selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membuat petua berkenaan pada 11 Ogos lepas bagi memberi masa secukupnya kepada ahli Parlimen untuk hadir ke Dewan Rakyat ketika proses undi belah bahagi dijalankan.

Turut menjadi tumpuan adalah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang yang dinamakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (COVID19) 2020) yang akan bersambung sesi perbahasan dan penggulungannya, Isnin ini.

Rang undang-undang berkenaan antara lain bertujuan mendapatkan kelulusan bagi pembiayaan peruntukan program di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang menyaksikan sejumlah RM45 bilion diperuntukkan, selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM11.2 bilion.

Bagaimanapun, bukanlah Dewan Rakyat jika tanpa ‘drama’ panas dalam kalangan ahli Parlimen yang terdiri daripada berbilang parti.

Antara topik hangat yang mencetuskan perdebatan adalah isu pengkhianatan dalam kalangan parti politik dan ahli-ahlinya, kebanyakan dibangkitkan oleh ahli Parlimen blok pembangkang ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

Isu pengkhianatan yang disentuh hampir dalam setiap perbahasan rang undang-undang itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said ketika mengendalikan sesi perbahasan berkenaan, mengingatkan kesemua ahli Parlimen bahawa rang undang-undang dibahaskan adalah Rang Undang-Undang Perbekalan ( Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.

“Yang Berhormat semua, saya ingatkan, ini Rang Undang-Undang Perbekalan ( Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 tapi saya tidak tahu, ada ke rang undang-undang pengkhianat ini?,” kata Azalina.

Selain itu, isu COVID-19 masih lagi disentuh oleh ahli Parlimen termasuk ada yang mencadangkan supaya gelang tangan dengan sistem GPS diguna pakai oleh individu di bawah perintah kuarantin wajib di rumah.

Turut menjadi perhatian ialah apabila seorang menteri dikatakan ke luar negara dan tidak menjalani tempoh kuarantin 14 hari selepas pulang ke tanah air.

Perkara yang ditimbulkan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang mendakwa ada seorang menteri ke luar negara dan menurutnya, menteri berkenaan telah mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas