Berita

Mercu tanda Putrajaya bercahaya sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021

|
- Diterbit 30 Januari 2021 6:34 AM MYT

MERCU tanda di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan akan bermandi cahaya pada setiap malam bermula 31 Jan sehingga 7 Feb sebagai simbolik meraikan Hari Wilayah Persekutuan 2021 dalam norma baharu.

Perdana Putra, Jambatan Seri Saujana dan Jambatan Seri Wawasan adalah antara mercu tanda di Putrajaya yang akan bercahaya dalam suasana perayaan pada setiap malam.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata program pencahayaan yang melibatkan mercu tanda dan bangunan di Putrajaya adalah antara program yang dirangka untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program Pencahayaan adalah untuk menggalakkan orang ramai dan pemilik bangunan untuk menyalakan lampu dalam suasana perayaan pada waktu malam supaya Wilayah Persekutuan sentiasa terang bercahaya sepanjang Februari ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata selepas 7 Feb, lampu di mercu tanda Putrajaya akan dinyalakan pada waktu malam setiap hari minggu sehingga 28 Feb.

Muhammad Azmi berkata penduduk Putrajaya boleh menikmati suasana meriah pencahayaan dari rumah bersama keluarga dan berkongsi gambar serta video menerusi media sosial dengan meletakkan tanda pagar #WilayahPersekutuanWilayahPrihatin dan #kibarbenderaWP.

Bagi Program Pengindahan dan Pengimarahan Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021, PPj telah memperuntukkan pembekalan lebih 10,000 unit bendera dan gegantung Wilayah Persekutuan dengan lebih 1,000 unit gegantung telah dipasang di jalan-jalan protokol, jalan persekutuan dan perbandaran.

PPj juga telah mengedarkan 8,450 unit bendera kepada Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya (MPPWP) dan 25 buah sekolah di Putrajaya sebagai galakan penganjuran Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan tahun ini, katanya.

Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata program Kenduri Rakyat tahun ini diadakan dengan penyampaian bakul makanan kepada keluarga kategori B40 di Putrajaya dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

Muhammad Azmi berkata PPj juga akan mengadakan Kempen Jom Bayar Saman sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang memberi tawaran RM30 untuk notis kompaun dan RM50 bagi kes saman mahkamah dari 27 Jan hingga 28 Feb.– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas