Berita

‘Menyelam’ di Times Square bersama AkarKitaBundle

INISIATIF UAMK memberi peluang kepada hafidz dan Alif meluaskan perniagaan mereka.
- Diterbit 7 Januari 2022 6:00 AM MYT

BUNDLE atau lebih dikenali sebagai koleksi pakaian terpakai mempunyai peminatnya tersendiri. Rata-rata mereka sanggup ‘menyelam’ di kedai ataupun secara atas talian (online) hanya untuk mendapatkan barangan terbaik mengikut pilihan.

Ia bukan sahaja dijual dengan pakaian berjenama dan berkualiti malah harganya juga murah, tahan lama serta selesa dipakai. Namun, bagi sesetengah orang yang tidak pernah atau kurang menggemari pakaian ini akan beranggapan bahawa baju bundle adalah bekas pakaian terpakai yang sudah kotor dan lusuh.

Mohd Hafidz

Menjelaskan mengenai presepsi tersebut, Mohd Hafidz Md Zain, 37, merupakan salah seorang pengusaha AkarKitaBundle (OurRootBundle) mengatakan bahawa barangan bundle sememangnya adalah rejected atau second-hand (barangan terpakai) namun masih mempunyai kualiti dan jenama di pakaian tersebut.

“Seperti yang diketahui, bundle adalah barang-barang terpakai yang diimport daripada negara-negara luar seperti United States (US), United Kingdom (UK), Korea, China, Jepun dan lain-lain.

“Walaupun ia bukanlah barang first handed (barang baru) tetapi kualiti dari segi material dan designnya masih elok, tidak cepat lusuh dan selesa dipakai,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Hafidz memberitahu pakaian-pakaian bundle yang dijualnya adalah berbeza dengan peniaga luar kerana ia menggunakan
konsep selective (pilihan).

KEBANYAKAN pakaian akan digosok terlebih dahulu untuk menjaga imej perniagaan mereka.

“Perbezaan barangan kami dengan bundle di luar adalah kami akan pilih terlebih dahulu pakaian-pakaian yang baru sampai dari kilang kerana tidak semua baju boleh digunakan contohnya sudah koyak, longgar dan sebagainya.

“Kami sangat mementingkan keselesaan dan kualiti untuk menjaga pelanggan kami, jadi pentingnya kami lakukan pemilihan terlebih dahulu dari segi kualiti, material dan condition mengikut standard berikutan kini kami menjalankan perniagaan di dalam Pusat beli-belah Berjaya Times Square,” jelasnya yang turut mengatakan bahawa ‘different places different strategy of business.’

Menurutnya, dia juga membahagikan pakaian-pakaian tersebut mengikut tiga class iaitu low class, medium class dan high class dengan harga yang berbeza-beza.

“Baju low class lebih tertumpu kepada konsep mampu beli. Pakaian ini masih baru dan elok di mana ianya dijual dengan harga serendah RM5 hingga RM10.

PENGUNJUNG boleh membuat pilihan baju dari segi material dengan harga berbeza. 

Medium class dijual dengan harga tiga helai RM50 dan tiga helai RM100 manakala high class pula adalah baju berjenama serta hot item dijual mengikut jenis pakaian tersebut,” jelas Hafidz yang turut menjual pakaian untuk perempuan.

Berkongsi mengenai keterlibatan menjalankan perniagaan di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota ini, Ahmad Alif Abdullah Ramlan, 27, yang merupakan rakan niaga kepada Hafidz mengatakan bahawa program ini memberi peluang kepada mereka untuk mengusahakan perniagaan bundle ini.

“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada kami bahkan ia juga adalah peluang untuk kami mengenegahkan bundle kepada orang ramai.

“Selain itu, program ini juga turut memberi peluang kepada peniaga di sini dan orang luar untuk datang belajar teknik atau cara hendak promosikan jualan secara online.

PELBAGAI pilihan baju dijual oleh AkarKitaBundle

“Mungkin sebelum ini kami jalankan perniagaan secara online tetapi strateginya itu tidak cukup, jadi bila diberi pendedahan seperti ini, ia sangat membantu peniaga terutama golongan yang sudah berusia untuk menambahkan ilmu tentang perniagaan itu,” jelasnya.

Mereka berdua turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan di atas penganjuran program seperti ini yang dilihat sangat membantu peniaga terjejas semenjak pandemik COVID-19 serta memberi galakan kepada golongan muda terutamanya untuk terlibat dalam bidang keusahawanan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas