Artikel

Menteri WP wajar dari luar kawasan

PEMANDANGAN Kuala Lumpur. -Gambar hiasan.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:40 AM MYT

Apabila timbul desas-desus mengenai rombakan kabinet, ada sekumpulan aktivis media sosial yang mengambil kesempatan menyuarakan pandangan mereka dengan mencadangkan supaya menteri Wilayah Persekutuan digantikan dengan wakil rakyat dari Wilayah Persekutuan.

Di Wilayah Persekutuan ada 13 ahli parlimen, 11 orang di Kuala Lumpur, seorang di Putrajaya dan seorang di Labuan. 12 daripadanya adalah dari Pakatan Harapan dan sekutunya, Parti Warisan. Di Kuala Lumpur, ahli-ahli parlimennya adalah dari PKR, DAP dan Bersatu. Hanya Putrajaya diwakili oleh BN.

Kumpulan ini menyebut bahawa BN lebih bertindak masuk akal kerana melantik seorang ahli parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Tengku Adnan Mansor dari Putrajaya sebagai menteri. Maka, mereka mahu Menteri Wilayah Persekutuan datang dari Wilayah Persekutuan juga.

Tetapi hakikatnya tidak begitu. Sejak Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan dan di bawah BN, empat daripada menteri itu datang dari luar Wilayah Persekutuan. Sementara empat lagi merupakan ahli parlimen Wilayah Persekutuan.

Pihak berkenaan berhujah bahawa seorang ahli parlimen dari Wilayah Persekutuan wajar menjadi Menteri Wilayah Persekutuan kerana beliau mempunyai motivasi tinggi untuk menjaga wilayah itu kerana para pengundinya berada di situ.

Pandangan ini tidak menepati dengan peranan seseorang Menteri Wilayah Persekutuan. Ini kerana menteri itu bukan saja merupakan menteri untuk mewakili penduduk Wilayah Persekutuan.

Ini kerana beliau adalah seorang menteri persekutuan dan bukannya ketua menteri untuk Wilayah Persekutuan. Ini kerana Wilayah Persekutuan adalah milik semua negeri di Malaysia. Ia tidak berdaulat sendiri seperti negeri.

Ia adalah milik semua rakyat Malaysia dan bukan saja warga Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan.

Sememangnya ahli-ahli parlimen dalam Wilayah Persekutuan lebih mengetahui mengenai masalah pengundi mereka.

Tetapi Menteri Wilayah Persekutuan bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan dan sewajarnya lebih mengetahui aspirasi kerajaan persekutuan terhadap Wilayah Persekutuan.

Seorang Menteri Persekutuan tidak semestinya datang dari Wilayah Persekutuan.

Terpulang pada Perdana Menteri untuk melantik sesiapa, malah di kalangan luar ahli dewan rakyat sekalipun, iaitu menurut keyakinannya. Maka sejak 2018, Perdana Menteri yakin pada Khalid Samad.

Walaupun beliau adalah Ahli Parlimen Shah Alam, tetapi mandat yang dipegangnya untuk menjadi Menteri Wilayah Persekutuan adalah dari keseluruhan pengundi Malaysia.

Ini kerana dalam PRU ke-14, majoriti pengundi daripada majoriti kawasan parlimen telah memilih calon Pakatan Harapan termasuk Khalid.

Ini membolehkan Pengerusi PH menubuhkan kerajaan dan membentuk kabinet. Sementara kabinet yang dibentuk adalah antaranya Khalid.

Mandat Meteri Wilayah

Maka mandat yang dipegang oleh Khalid adalah datangnya dari keseluruhan pengundi Malaysia dan bukannya pengundi Wilayah Persekutuan semata-mata.

Kumpulan itu menggesa Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan bersatu suara supaya menggesa Perdana Menteri supaya menggantikan menteri dan timbalan menteri wilayah dengan salah seorang daripada mereka.

Sesiapa pun boleh mendesak Perdana Menteri menggantikan Menteri Wilayah. Bukan saja mereka, tetapi juga ahli-ahli parlimen dari seluruh Malaysia.

Wilayah Persekutuan bukan milik pengundi Wilayah Persekutuan tetapi ia milik semua pengundi Persekutuan Malaysia.

Dalam kerajaan Malaysia, semua kementerian adalah penting. Setiap kementerian pula mempunyai keistimewaan masing-masing.

Kementerian Wilayah Persekutuan bertanggungjawab pada Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Landskap Negara.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah wilayah sementara Landskap Negara adalah jabatan yang merupakan pihak berkuasa ke atas landskap di seluruh negara termasuk taman dan hutan.

Kedudukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukanlah seperti negeri-negeri yang mempunyai kerajaan dan perlembagaan masing-masing.

Ketiga-tiga kawasan itu merupakan wilayah yang di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan melalui kementerian istimewa ini.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula mempunyai pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

Keistimewaan kedudukan mereka pula adalah Kuala Lumpur merupakan ibu kota Persekutuan Malaysia, Putrajaya adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Labuan adalah Pusat Kewangan Luar Pesisir Pantai Persekutuan Malaysia.

Sementara peranan Jabatan Landskap Negara terungkap dengan visi dan misi yang berbunyi untuk menjadi peneraju dan pusat kecemerlangan dalam pembangunan landskap untuk mencapai persekitaran hidup yang berkualiti, mampan dan beridentitikan Malaysia dan memastikan pembangunan landskap yang terancang dan berkualiti bagi menyediakan persekitaran hidup yang kondusif.

Kejayaan sesebuah kementerian terletak pada tiga peringkat iaitu kepimpinan politik, pelaksanaan oleh jentera kerajaan dan sokongan warganegara Malaysia.

Ketiga-tiga sektor ini perlu bekerjasama dan komited serta jujur untuk mempertahabkan kementerian ini dan menjayakan kecemerlangan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan landskap negara.

Ini kerana keempat-empat komponen itu kepemilikannya bukan saja pada pemimpin parti yang memerintah, penduduk tempatan wilayah berkenaan tetapi juga keseluruhan warga negara Malaysia kerana ia merupakan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Warga negara Malaysia yang mengundi dalam pilihan raya umum tahun 2018 telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lantaran itu, beliau menubuhkan kabinet yang salah seorang anggotanya ialah Khalid Samad dari Parti Amanah Negara.

Beliau diberi tanggungjawab memimpin Kementerian Wilayah Persekutuan bagi pihak kerajaan Persekutuan Malaysian.

Timbalan beliau ialah Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Mereka memiliki pasukan pegawai lantikan politik untuk menjayakan kementerian.

Paling penting ialah sokongan warga Wilayah Persekutuan sendiri bagi menjayakan semua rancangan ini.

Terdapat tiga peringkat warga Wilayah Persekutuan. Pertama, mereka yang tinggal di Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Kedua, mereka yang tidak tinggal di Wilayah Persekutuan tetapi berurusan dengan segala perkara berkaitan dengan Wilayah Persekutuan.

Ketiga, seluruh warga negara Malaysia amnya kerana Wilayah Persekutuan adalah milik mereka, termasuk kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan pada Jabatan Landskap Negara termasuk taman dan hutan.

Sikap positif warga terhadap kementerian ini akan memberikan kebaikan bersama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas