Artikel

Mengisi keinginan warga kota

PELBAGAI acara perlu diadakan bagi mengisi keperluan warga ibu kota - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Disember 2019 5:15 AM MYT

Untuk menjadikan sesuatu bandar raya itu hidup, ia memerlukan idea baharu untuk menampilkan inisiatif dan gaya hidup baharu. Kehidupan bukan sekadar menyelesaikan masalah yang timbul atau menangani cabaran yang datang. Sebaliknya apa yang dikatakan hidup adalah keterujaan dan membenamkan kebosanan.

Ketenangan dan kedamaian hidup adalah suatu yang indah tetapi ia perlu juga ditandai dengan keterujaan dari semasa ke semasa. Ini kerana kegembiraan hidup itu adalah kitaran antara ketenangan dan keterujaan. Maka begitu juga dengan kehidupan di bandar raya.

Warga kota tentu juga mahukan kegembiraan hidup. Di samping ketenangan, iaitu yang termasuk keselamatan, mereka juga perlukan keterujaan dari semasa ke semasa. Keterujaan itulah yang diharapkan dapat disediakan oleh bandar raya.

Apa yang mendatangkan keterujaan adalah aktiviti dan perayaan. Terdapat pelbagai aktiviti untuk memenuhi keperluan jiwa warga kota yang pelbagai dan berbeza.

Ada warga kota yang suka aktiviti kebudayaan. Ada pula yang menggemari acara-acara sukan. Tidak kurang pula yang sukakan aktiviti membeli-belah. Ada yang sukakan riadah dan segelintir pula sukakan kegiatan intelektual. Tidak kurang pula yang sukakan acara agama. Begitu juga ada golongan masyarakat yang gemarkan acara sains dan teknologi. Kesemua keinginan ini wajar ditampung oleh bandar raya berkenaan.

Sebenarnya keperluan bagi kegiatan-kegiatan ini ada pada semua manusia, bukan saja di bandar raya tetapi juga di bandar-bandar kecil, pekan-pekan malah di kampung.

Adalah suatu yang lumrah pelbagai acara diadakan oleh manusia seperti jamuan, persembahan atau perayaan menurut kebiasaan masing-masing di peringkat tempatan.

Namun begitu, bandar raya yang menghimpunkan lebih banyak warganya di suatu kawasan kecil dengan pelbagai kemudahan wajar menawarkan acara yang lebih menarik dan membekalkan keterujaan lebih besar berbanding bandar kecil, pekan atau kampung.

Maka idea-idea baharu diperlukan untuk kegiatan-kegiatan ini. Umumnya warga kota bekerja lima hari seminggu iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat.

Maka tumpuan aktiviti untuk keterujaan ini adalah Sabtu dan Ahad. Tidak kurang pula ada yang bekerja pada hujung minggu, maka hari kelepasan mereka adalah hari biasa. Maka mereka bolehlah mengambil bahagian untuk acara pada hari-hari bekerja biasa.

Pada hari-hari cuti umum panjang, cuti-cuti musim perayaan, cuti-cuti sekolah dan universiti, dan cuti hujung tahun seperti yang berlaku sekarang, maka ruang masa bagi acara-acara adalah lebih panjang.

Aktiviti kebudayaan boleh tampil dalam bentuk seni persembahan seperti konsert, tarian dan teater atau seni paparan seperti pameran lukisan dan arca.

Namun adakah bandar raya Kuala Lumpur memberikan acara-acara ini? Di pusat-pusat hiburan terdapatlah acara-acara muzik ini. Pusat-pusat karaoke umpamanya tergolong dalam kategori ini. Bagaimanapun, ada sebahagian orang ramai perlukan konsert lebih besar, yang diadakan seperti di stadium atau dewan-dewan.

Adakah acara-acara ini mencukupi untuk golongan yang minat hiburan. Bagi mereka yang meminati muzik klasik, Dewan Filharmonik Petronas di KLCC menawarkan keperluan mereka.

Bagi mereka yang meminati muzik kebangsaan dan tradisional, Istana Budaya pula yang memberikan khidmat pada mereka. Namun dua tempat itu tidak mencukupi. Wajar tempat-tempat lain turut menawarkan acara hiburan masing-masing. Ia juga perlu dianjurkan oleh institusi kerajaan. Badan-badan kebudayaan rakyat seperti Pusaka wajar digalakkan untuk memberi persembahan.

Kegiatan teater adalah penting bagi sesebuah bandar raya. Tentu tumpuannya adalah di Istana Budaya. Tetapi tempat-tempat lain boleh dijadikan lokasi bagi persembahan teater. Umpamanya yang pernah dilakukan oleh Paksi di Padang Merbok.

Bagi seni paparan, tentu seseorang akan mengingati Balai Seni Negara dan Galeri Petronas. Tetapi galeri-galeri lain seperti Galeri Ilham turut memainkan peranan untuk memenuhi jiwa peminat seni lukisan. Sesungguhnya kegiatan seni menjadikan hidup manusia lebih bermakna.

Acara

Untuk yang meminati acara sukan, tentulah perhatiannya adalah kepada stadium. Di Kuala Lumpur terdapat Stadium Nasional di Bukit Jalil dan Stadium Merdeka. Tetapi terdapat banyak padang-padang di seluruh Kuala Lumpur yang wajar diaktifkan dengan acara-acara sukan.

Sukan perlu dilihat dari dua sudut. Sudut tontonan dan sudut penyertaan. Selain daripada sukan tontonan, warga kota wajar melibatkan diri mereka dalam sukan. Bukan untuk memenangi kejohanan tetapi lebih kepada untuk kegembiraan sendiri di samping menjalani gaya hidup sihat.

Maknanya penduduk-penduduk setempat wajar aktif menganjurkan acara sukan setempat di kawasan-kawasan perumahan di seluruh Kuala Lumpur. Bagi Wilayah Persekutuan, ia juga perlu diadakan di Putrajaya dan Labuan.

Tetapi paling sukar untuk memenuhi keperluan jiwa adalah bagi golongan yang meminati aktiviti intelektual. Golongan ini tidak ramai tetapi merekalah yang boleh disifatkan sebagai otak bagi sesebuah bandar raya

Kesemua aktiviti itu bukan saja menuntut penyediaan infrastruktur dan aktiviti daripada pihak kerajaan malah lebih penting warga kota sendiri wajar rajin tampil dan aktif bagi menjayakan jiwa sukannya.

Bagi yang meminati aktiviti membeli-belah, mereka lebih mudah mengisi keperluan jiwa. Bukan saja Kuala Lumpur dan Lembah Klang menawarkan banyak pusat membeli-belah malah pasar-pasar jalanan juga terdapat di merata tempat. Dari Petaling Street hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Di samping itu, terdapat apa yang dipanggil uptown yang diadakan pada hujung minggu di sekitar Kuala Lumpur. Pada musim perayaan pula, terdapat Bazaar Ramadan dan jualan menjelang Deepavali. Selain itu, ekspo-ekspo dagang juga terletak dalam kategori ini.

Bagi mereka yang gemar beriadah, taman-taman seperti Taman Tasik Perdana, Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Metropolitan menjadi tumpuan acara. Jika ada yang menganjurkan acara seperti marathon dan menunggang basikal, ia akan menjadi lebih meriah dan menimbulkan keterujaan.

Tetapi paling sukar untuk memenuhi keperluan jiwa adalah bagi golongan yang meminati aktiviti intelektual. Golongan ini tidak ramai tetapi merekalah yang boleh disifatkan sebagai otak bagi sesebuah bandar raya. Apa yang dikatakan acara-acara golongan intelektual adalah seperti pelancaran buku, seminar, forum, wacana, simposium, kolokium, kuliah dan sumpamanya.

Di Kuala Lumpur waktu ini, seringkali diadakan juga acara-acara intelektual seumpama ini. CASIS di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaya kini seringkali mengadakan acara intelektual yang terbuka percuma untuk orang ramai.

Begitu juga institut-institut dan juga dewan-dewan seperti DBP, ISTAC, IKIM, Dewan Perniagaan Cina dan Gerak Budaya. Lebih banyak acara sedemikian akan membuka luas minda warga kota.

Termasuk dalam kategori ini adalah pameran-pameran yang diadakan di muzium dan perpustakaan, yang kesemuanya menyumbang pada memandaikan warga kota. Bagi mereka yang meminati acara agama, tentulah masjid-masjid yang aktif memenuhi keperluan jiwa ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas