Berita

Menara Seri Wilayah selamat jalani proses disinfeksi

PETUGAS MRCB melakukan semburan disinfeksi di tingkat empat Blok 2, Menara Seri Wilayah yang menempatkan pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya di Putrajaya hari ini. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 16 April 2020 1:13 PM MYT

PUTRAJAYA – Kedua-dua blok Menara Seri Wilayah yang menempatkan pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menjalani proses disinfeksi yang dilakukan bermula pukul 10 pagi tadi.

Menurut Eksekutif Pengurusan Fasiliti dan Penyelesaian Pelanggan, Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Mohd Fadli Abdul Wahab, operasi disinfeksi dijalankan dengan empat petugas yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Mesin yang digunakan dalam operasi ini adalah ‘Misting Machine’ yang menghasilkan kabus dan bahan kimia yang digunakan  ‘ditembak’ ke ruang udara.

“Bahan kimia yang digunakan adalah ‘Earth Woven’ yang diimport daripada Jerman dapat bertindak membunuh kuman dan bakteria di sesuatu permukaan.

“Ia boleh bertahan dari tiga hingga enam bulan sekiranya sesuatu permukaan itu tidak dibersihkan. Ia juga boleh bertahan antara 10 hari hingga 12 hari di atas permukaan lantai,” katanya.

Mohd Fadli memberitahu, operasi tersebut memakan masa kira-kira 30 minit untuk setiap tingkat dan setiap blok siap dalam masa dua jam.

Blok 2 di menara tujuh tingkat itu menempatkan pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya serta kakitangan kementerian.

PEJABAT editorial Wilayahku di tingkat 9, Blok 1, Menara Seri Wilayah turut dilakukan proses disinfeksi.

Selain itu, pejabat editorial Wilayahku yang terletak di tingkat 9, Blok 1 turut diinfeksi pagi ini.  Blok itu turut menempatkan beberapa agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) serta gimnasium.

Proses disinfeksi dilakukan berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pegawai kementerian tersebut baru-baru ini.

Terdapat arahan terbaru dari Pusat Pengurusan Krisis (SMC), Jawatankuasa Kerja Keselamatan  Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa agar pejabat kerajaan yang mempunyai kes positif Covid-19 dilakukan disinfeksi di bahagian dalam bangunan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas