Berita

Menara Merdeka 118 lambang pencapaian hebat kejuruteraan negara

ISMAIL Sabri berkata pembinaan Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 1 Disember 2021 2:22 AM MYT

PEMBINAAN menara Merdeka 118 ketika negara berdepan dengan cabaran COVID-19 merupakan pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan negara, malah turut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara moden dan maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Merdeka 118 merupakan menara pertama di Malaysia mencapai penarafan platinum hijau dalam pensijilan kelestarian antarabangsa dan pensijilan WELL yang berprestij.

“Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan,” katanya pada majlis penyempurnaan puncak menara Merdeka 118 di sini hari ini.

WELL Building Standard mengambil pendekatan menyeluruh terhadap kesejahteraan dalam persekitaran binaan memberi tumpuan kepada tatalaku, operasi dan reka bentuk.

Ismail Sabri berkata pembinaan Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur.

“Ia sekali gus melengkapi kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral,” katanya.

Katanya pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap dan Pudu untuk menjana ekonomi.

“Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang kepada komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambah daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118,” katanya.

Mengenai permohonan Geran Merdeka 118 yang dibuka pada 28 Jun hingga 20 Ogos 2021, katanya Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

Beliau berkata langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosioekonomi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Ahmad Zulqarnain Onn dalam ucapan berkata Merdeka 118 adalah pembangunan seluas 40 ekar (16 hektar) dan 50 peratus daripada keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

“Merdeka 118 sudah mencapai tahap 85 peratus siap, pemasangan lantai telah mencapai tingkat 118 dan panel kaca telah dipasang sehingga tingkat 114,” katanya.

“Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik, dengan bangganya saya melaporkan bahawa menara ini dan penaiktarafan infrastruktur di sekelilingnya akan siap sebelum akhir 2022,” katanya.

Beliau berkata ruang Look at 118 akan menempatkan muzium tekstil, kafe, kedai cenderamata dan anjung tinjau.

“PNB juga akan membina tiga menara kediaman yang akan dilancarkan pada 2023, dua daripadanya adalah Merdeka Residences dan sebuah lagi, Oakwood Premier Serviced Residence,” katanya.

Katanya Merdeka 118 turut mempunyai ruang pejabat Gred-A, yang akan mengambil 83 tingkat pertama menara tersebut manakala 17 tingkat tertinggi menara itu akan menempatkan Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur yang pertama di Malaysia dengan bilik sebanyak 252.

“Ia akan dibuka pada awal 2023,” katanya. — BERNAMA

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas