Utama

Menang RM7,000..buat modal baiki kereta

MOHD. Suhaimi (tengah) bersama Siti Zaleha (kiri) dan Mohammad Syamim menunjukkan hadiah yang dimenangi mereka pada Pertandingan Memancing Putrajaya 2020.
- Diterbit 15 Februari 2020 6:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Tuah menyebelahi seorang kaki pancing, Mohd. Suhaimi Mohd. Johari, 55, apabila muncul sebagai juara Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini, hari ini.

Berjaya menaikkan ikan tenggalan seberat 3.645 kilogram pada pukul 9.35 pagi, Mohd. Suhaimi mengakui dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut.

Hanya menggunakan umpan dedak dan roti, wang tersebut bakal digunakan untuk membaiki kereta pacuan empat roda, Ford Ranger miliknya yang rosak seminggu lalu.

“Alhamdulillah atas rezeki yang tidak disangka-sangka ini dan tiba pada saat saya memerlukan,” ujar peserta dari Petaling Jaya ini yang berjaya mengutip mata keseluruhan sebanyak 36.450

Menariknya pemancing wanita, Siti Zaleha Mad Jamil, 65, yang berjaya menaikkan ikan rohu seberat 7.230 kilogram dan mengumpul mata sebanyak 36.150 mata pula diumumkan memenangi tempat kedua dengan hadiah RM5,000.

Tempat ketiga pula milik Mohammad Syamim Hussin, 27, yang berjaya menaikkan ikan jelawat seberat 3.505 kilogram dengan keseluruhan mata 35.050

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd. Samad berkata, masyarakat sentiasa menyambut baik karnival yang diadakan dan ia menunjukkan semangat perpaduan yang erat.

“Tahun ini kita menerima penyertaan sehingga 2,037 peserta iaitu satu jumlah yang besar dan meningkat dari tahun ke tahun,” ujarnya.

Selain itu, pemenang tempat ke-4 sehingga tempat ke-100 juga akan menerima wang tunai serta hamper.

PPj turut menyediakan 40 hadiah cabutan bertuah berupa barangan keperluan memancing dan empat hadiah bonanza berupa satu unit TV LED 60 inci dan tiga unit TV LED 40 inci. –WILAYAHKU

KHALID (tiga kanan) bersama pemenang Pertandingan Memancing Putrajaya 2020, selepas hadir merasmikan Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 di Presint 3, Putrajaya hari ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas