Berita

Memoir Thomas: Azalina gesa peranan AG dan pendakwa raya dipisahkan

- Diterbit 10 Februari 2021 12:01 PM MYT

PEGUAM Negara (AG) tidak seharusnya turut berperanan sebagai Pendakwa Raya (PP), kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina, 58, yang juga seorang peguam, menulis dalam blognya azalinaothmansaid.com hari ini bahawa beliau telah mengemukakan cadangan berhubung perkara itu pada Jun 2018.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata sebelum tahun 1960, seorang AG dilantik bukan atas nasihat perdana menteri sebaliknya dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan hanya boleh dipecat oleh satu tribunal yang dianggotai sekurang-kurangnya lima hakim.

Menerusi hantaran berjudul ‘Persepsi menentang Realiti,’ beliau berkata semua itu berubah pada 1960 apabila Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu membentangkan pindaan terhadap Perkara 145 (Perlembagaan Persekutuan) bagi membolehkan seorang AG dilantik bukan hanya daripada kalangan ahli SPKP sebaliknya dipilih daripada kalangan ahli politik, peguam malah ahli akademik, dan perlindungan terhadap pemecatan AG turut dihapuskan.

Azalina juga berkata kuasa pendakwaan menjadikan AG antara individu paling berkuasa di Malaysia, oleh itu memandangkan tidak ada mekanisme semak dan imbang yang sempurna bagi memastikan kebebasan serta akauntabiliti AG, maka terdapat keperluan yang mendesak dalam menjamin bahawa kuasa AG dilaksanakan secara bertanggungjawab dan bebas.

Beliau berkata memoir bekas AG Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ hendaklah menjadi pemangkin kepada semua Ahli Parlimen untuk bersatu hati dalam melakukan usaha ikhlas bagi mengawasi pindaan perlembagaan berkaitan peruntukan jawatan AG berdasarkan Perkara 145 agar peranan AG dipisahkan daripada peranan PP. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas