Berita

Membantu bumiputera Kuala Lumpur

FAKTOR harga jualan semakin meningkat menyebabkan golongan bumiputera tidak mampu membeli rumah - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Januari 2020 5:55 AM MYT

“Walaupun bilangan bumiputera di ibu kota sudah seimbang tetapi dari segi kekayaan ia tidak berlaku. Dasar Ekonomi Baru berusaha mengimbangkannya tetapi tidak berhasil sepenuhnya

BARU-BARU ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengumumkan tabung pusingan membantu bumiputera membayar deposit untuk membeli rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dengan serta-merta seorang menteri menegur beliau dengan mempersoalkan, mengapakah dana itu untuk bumiputera saja? Sedangkan ada juga bukan bumiputera yang memerlukan.

Maka dijelaskan 10 fakta mengenai dana itu. Ia adalah dana khas untuk bumiputera golongan B40 dan M40. Ia bertujuan membayar deposit pembelian rumah mampu milik yang pertama.

Dana itu merupakan hasil kutipan denda sebanyak lima peratus ke atas pemaju yang menjual lot bumiputera kepada bukan bumiputera tanpa kebenaran DBKL. Tiada had umur.

Pembeli pula perlu mendapatkan surat tawaran daripada bank dan bukan terus datang ke DBKL meminta duit deposit. Tempoh bayaran balik adalah kira-kira 10 tahun tanpa dikenakan faedah.

Permohonan perlu dibuat di Jabatan Perumahan DBKL. Inisiatif ini bertujuan menggerakkan ekonomi dan mengatasi lambakan rumah yang tidak terjual di Kuala Lumpur.

Dana ini dianggarkan dapat membantu sekurang-kurangnya 130 orang untuk membayar wang pendahuluan rumah mampu milik berharga bawah RM300,000. Keseluruhan dana berjumlah RM3.9 juta.

Dana

Bagi menjawab teguran itu, fakta kedua itulah kuncinya. Dana ini merupakan hasil kutipan denda yang dikenakan ke atas pemaju yang menjual rumah yang diperuntukkan pada bumiputera kepada bukan bumiputera tanpa kebenaran DBKL.

Apa yang dilakukan oleh menteri bukanlah suatu pelaksanaan dasar baharu. Ia merupakan daya usaha bagi mengatasi isu yang timbul akibat dasar-dasar kerajaan terdahulu yang tiada kaitan dengan menteri sekarang, serta juga menteri yang membuat teguran itu.

Tetapi isu itu ada di depan mata menteri dan ia perlu ditangani sebaiknya. Maknanya ada sebilangan pemaju sebelum ini yang melanggar peraturan supaya memperuntukkan bilangan tertentu pada bumiputera. Akibatnya, mereka dikenakan denda. Adalah sewajarnya denda itu dijadikan dana bagi membantu bumiputera.

Mengapa pemaju-pemaju berkenaan melanggar peraturan itu? Adalah tidak diketahui puncanya tetapi rasanya bukanlah berkaitan perkauman. Namun ia besar kemungkinannya kerana tiada bumiputera yang mampu untuk membelinya kerana mahal iaitu tidak mampu milik.

Maka sewajarnya wang denda itu dikembalikan pada bumiputera untuk memiliki rumah. Walaupun yang akan memanfaatkannya tidak banyak iaitu 130 orang, ia sekurang-kurang dapat membantu golongan B40 dan M40.

Sememangnya terdapat juga orang bukan bumiputera yang memerlukannya. Malah di kalangan bumiputera itu, tentunya terdapat lebih 130 orang. Maknanya pasti ada orang bumiputera sendiri tidak akan dapat kerana dana itu tetap terhad.

Namun sebagai penyambungan pada dasar dahulu, mengembalikan apa yang patutnya memiliki bumiputera adalah suatu langkah yang wajar.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna dasar kerajaan hari ini sama dengan yang terdahulu. Cumanya ia penyambungan dan penyelesaian isu yang datang dari dahulu.

Jika apa yang dilihat daripada langkah Menteri Wilayah Persekutuan itu, penekanannya adalah pada membantu golongan B40 dan M40. Penekanannya adalah pada kedudukan ekonomi seseorang dan bukan atas sama ada bumiputera atau tidak.

Kedudukan bumiputera sudah termaktub dalam Perlembagaan. Tidak kira mana-mana parti yang menerajui kerajaan, mereka perlu akur pada Perlembagaan. Kalau sesiapa yang tidak bersetuju, mereka bolehlah mengorak langkah meminda Perlembagaan.

Tetapi ia sudah tentu melalui proses yang rumit dan perlu mendapat sokongan rakyat. Jika tidak, sesiapa yang memerintah pun perlu akur pada Perlembagaan.

Pada asalnya Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor. Selangor pula sebelum ditubuhkan adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatan Perak. Bagaimanapun, di bawah pemerintahan British Malaya, Selangor adalah sebahagian dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Sebelum kedatangan British, penduduk Selangor terdiri daripada Orang Asli dan orang Melayu. Pada masa itu tentulah tiada konsep bumiputera. Malah tidak ada konsep Orang Asli. Mereka dipanggil menurut kaum masing-masing seperti Senoi, Temuan dan Mah Meri.

Sementara itu, orang Melayu juga dipanggil menurut asal usul mereka seperti Minang, Bugis, Jawa, Mandailing dan seumpamanya. Kesemuanya dianggap orang Melayu kerana mereka adalah rakyat Sultan yang merupakan Raja Melayu.

Maka orang Melayu yang bertani di Ulu Klang, Ulu Gombak dan Ulu Ampang membawa hasil tanaman mereka, dan juga bijih-bijih timah yang dijumpai ke Pangkalan Lumpur yang akhirnya menjadi Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Klang.

Apabila British memulakan keresidenan mereka di Selangor, kegiatan ekonomi bertambah. Untuk itu dibawa masuk orang dari China dan India untuk mengusahakan dan ladang. Orang dari Kepulauan Melayu seperti dari Sumatera, Jawa, Kalimantan dan Sulawesi turut bertumpu ke Selangor khususnya Kuala Lumpur.

“Sebelum kedatangan British, penduduk Selangor terdiri daripada Orang Asli dan orang Melayu. Pada masa itu tentulah tiada konsep bumiputera. Malah tidak ada konsep Orang Asli. Mereka dipanggil menurut kaum masing-masing seperti Senoi, Temuan dan Mah Meri.

Walaupun ibu negeri Selangor adalah Klang kerana sultan bersemayam di situ, pentadbir British menjadikan Kuala lumpur sebagai pusat pentadbirannya bukan saja bagi Selangor tetapi juga Negeri-negeri Mela)u Bersekutu.

Pentadbir British mula mewujudkan konsep-konsep menurut kaum. Konsep-konsep seperti Natives, Indigenous, Aborigines, Immigrants dan Expatriates mula digunakan.

Namun apabila mentadbir Kuala Lumpur, konsep-konsep itu kemudian membentuk jadi kaum. Barulah timbul konsep-konsep orang Eropah, Melayu, Cina dan India.

Jadi di Kuala Lumpur, kawasan-kawasan juga ditetapkan menurut kaum. Tebing kanan Sungai Klang-Gombak adalah kawasan orang Eropah. Sebelah kiri menuju selatan adalah kawasan orang Cina. Sebelah kiri menuju utara adalah kawasan Melayu dan India.

Kerana kegiatan lombong semakin besar di seluruh Lembah Klang, orang Cina bertambah ramai. Maka akhirnya di Kuala Lumpur, majoriti penduduknya adalah Cina. Bukan saja majoriti, mereka lebih kaya dan makmur daripada kaum lain.

Pun begitu, kedaulatan negeri tetap pada orang Melayu walaupun kuasa politik pada orang Inggeris. Sementara itu, orang India bebas bekerja dan berniaga. Bagi pentadbiran, ada Kapitan Cina dan Kapitan India.

Maka apabila merdeka, walaupun kuasa politik sudah berpindah dari Inggeris ke Melayu tetapi sistem demokrasi memberi ruang untuk semua warganegara memiliki kuasa politik. Maka walaupun Melayu dominan tetapi Cina dan India turut menyertai kerajaan pimpinan Melayu.

Ketika merdeka, majoriti penduduk adalah orang Cina. Begitu juga dengan kekayaan. Dengan penubuhan Persekutuan Malaysia, maka timbullah konsep bumiputera. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Indigenous yang meliputi bukan saja Melayu malah suku-suku kaum di Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, semasa Tun Razak, beliau membuat inisiatif supaya penduduk Kuala Lumpur adalah seimbang dari segi peratus penduduk. Banyaklah orang Melayu dari luar Kuala Lumpur menjadi warga kota.

Walaupun bilangan bumiputera di ibu kota sudah seimbang tetapi dari segi kekayaan ia tidak berlaku. Dasar Ekonomi Baru berusaha mengimbangkannya tetapi tidak berhasil sepenuhnya.

Dalam kalangan bumiputera sendiri, jurang kaya miskin juga melebar. Maka akhirnya ia bukan isu antara kaum tetapi lebih pada soal kedudukan ekonomi; B40 dan M40 dengan T20. Ini lebih mencabar atau sememangnya jurang ini tidak boleh dirapatkan.

mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kawasan Lembah Pantai yang pertama bagi tahun 2020.

Zin Mahmud merupakan bekas Pengarang Utusan Malaysia dan penulis bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas