Berita

Megat D Shariman tabur bakti semula

MEGAT (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Sukan Boocia.
- Diterbit 24 Ogos 2020 10:26 AM MYT

AHLI perniagaan, Datuk Megat D Shariman Zaharudin bukanlah figura asing dalam senario sukan di Malaysia apatah lagi beliau merupakan antara yang memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi dan persatuan sukan di Malaysia.

Bermula dengan hanya mahu membantu menyuntik dana sebanyak RM500,000.00 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk jawatan pengerusi hingga menjadi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang dimenanginya Disember lalu, menunjukkam beliau serius melibatkan diri dengan sukan.

Ahli perniagaan berusia 37 tahun ini juga merupakan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang juga pemilik Kelab Hockademy Kuala Lumpur yang menjuarai saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2020, Februari lalu.

Ditanya kenapa beliau begitu serius melibatkan diri dalam dunia sukan, Megat D Shariman berkata, faktor aktif bersukan di zaman sekolah mendorong dirinya menglibatkan diri dengan sukan sekarang.

MEGAT D SHARIMAN

“Saya masuk sukan kerana saya sendiri seorang atlet ketika zaman persekolahan dalam aksi pecut mewakili zon Keramat pada pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bawah 15 dan 18 tahun,” ujarnya.

Tambahnya juga, dia  pernah muncul juara hoki zon Keramat bersama pasukan Sekolah St. John’s Institution.

Dalam pada itu, dia juga mahu menabur bakti semula kepada anak-anak yang bersukan terutama sekali anak-anak di Kuala Lumpur.

“Sudah tentu bila saya masuk sukan ini saya mahu menabur bakti semula kepada anak-anak di Kuala Lumpur. Saya berharap barisan kepimpinan dalam sukan tidak menyalahgunakan kehadiran ahli korporat seperti saya demi mengejar kepentingan peribadi.

“Jangan buat mereka (ahli korporat) menyesal kerana terbeban dengan tindak tanduk sesetengah individu yang mempunyai kepentingan perniagaan dalam sukan dan sebagainya kerana saya melihat ini menjadi antara sebab perkembangan sukan terbantut,” pesan beliau.

Megat juga mengingatkan bahawa sukan di negara kita jauh ketinggalan dalam sesetengah sukan berbanding negara jiran yang sudah maju ke depan dan tidak perlu ada individu yang mementingkan diri dalam sesebuah persatuan sukan. -WILAYAHKU/MUHAMAD NIZAM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas