MEE SASAK juadah unik dari Labuan

MEE SASAK juadah unik dari Labuan

SALAH satu juadah unik yang ada di Labuan iaitu mee sasak bukan sahaja menambat selera malah mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di sini.

GARY

Menurut peniaga mee sasak, Gary Chong Jen Tshum, 46, perniagaan mee goreng yang dimulakan datuknya sejak 50 tahun lalu itu menyimpan sejarah kehidupan penduduk Labuan yang penuh harmoni.

“Memang dari dulu pelanggan kami terdiri daripada pelbagai bangsa dan kebanyakan orang tempatan terutama warga yang sudah berusia amat mengenali mee sasak.

“Nama mee sasak itu sendiri datang daripada perkataan sasak (sesak) apabila orang ramai pada ketika itu membeli mee ini dengan bersesak-sesak.

“Itu yang saya paling suka apabila berbilang bangsa makan mee sasak ini dan saya gembira mee ini boleh menyatukan semua kaum di Labuan,” katanya.

Gary yang merupakan generasi keempat dalam perniagaan itu nyata tidak ragu-ragu untuk meneruskan legasi kegemilangan mee sasak.

“Perniagaan ini diwarisi daripada datuk, makcik-makcik saya dan sekarang saya ambil alih kerana saya rasa mee ini unik dan tidak ada di tempat lain tambah pula saya tidak mengubah resepi asal mee ini menyebabkan ramai pelanggan tetap akan terus datang ke sini.

“Mee ini digoreng tanpa menggunakan minyak, menggunakan hanya beberapa bahan asas seperti mee, telur, tauge, fish cake dan ini menambahkan lagi keunikan dan tarikan kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan yang lebih sihat,” jelasnya.

HIDANGAN mee sasak bersama beberapa perencah sampingan.

Seorang pelanggan tetap Jahrin Ismail, 56 berkata beliau sudah mula menikmati mee sasak sejak berusia 6 tahun.

“Saya sudah menikmati mee sasak sebelum saya sekolah, kami sekeluarga memang suka makan mee sasakdan makanan ini mengimbau kembali banyak kenangan saya bersama keluarga.

“Mee ini dimasak dengan sangat ‘simple’ tetapi rasanya sedap dan lebih sedap dimakan semasa ia masih panas,” kongsinya.

Jahrin turut berkongsi rasa gembira melihat suasana harmoni penduduk Labuan yang  berbilang kaum menikmati keistimewaan mee sasak.

“Saya begitu suka melihat orang Labuan pelbagai kaum duduk semeja bersembang sambil makan mee sasak dan ini menjadi satu tarikan kepada orang luar yang melihat situasi ini sebagai satu yang jarang berlaku,” katanya.

PROSES memasak oleh Gary.

Bagi Tan Ah En, 66, yang juga merupakan pelanggan mee sasak sejak di bangku sekolah mengakui kelebihan mee sasak.

“Dari dulu-dulu lagi masa saya budak sudah makan mee sasak, mee ini ‘simple’, kurang minyak tetapi rasanya masih sedap menyebabkan ramai orang menjadi peminat mee sasak sejak
puluhan tahun dulu.

“Keadaan itu menjadikan tempat menjual mee sasak seperti tempat perjumpaan orang Labuan dari pelbagai bangsa dan juga menjadi tarikan pelancong luar,” katanya.

Sementara itu, Nagarajan Gopal, 58, yang baharu menetap di Labuan selama enam tahun mengakui sedikit terkejut dengan situasi yang dilihatnya apabila mula-mula sampai di Labuan.

“Saya lihat orang Labuan yang berbilang kaum boleh duduk semeja menikmati mee sasak yang begitu ringkas sambil berbual-bual seperti sebuah keluarga dan ini bagi saya satu pengalaman baharu yang susah saya lihat di tempat lain.

“Persekitaran ini membuatkan saya begitu selesa menetap di Labuan dan saya rasa mahu terus tinggal di Labuan,” katanya penuh ceria.

JAHRIN sedang menikmati mee sasak.

CATEGORIES