Berita

McDonald’s sumbang poster pencegahan COVID-19 di sekolah

Majlis pelancaran program #KitaJagaKita telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 4 September 2020 6:17 AM MYT

MCDONALD’S Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berganding bahu melalui program #KitaJagaKita bagi menyebarkan mesej pencegahan COVID-19.

Program ini mendekati lebih 35,000 murid, melibatkan 30 sekolah terpilih sekitar Lembah Klang yang berhampiran dengan restoran McDonald’s.

Majlis pelancaran program #KitaJagaKita yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa, Kuala Lumpur semalam menyaksikan McDonald’s Malaysia menyumbang lebih 1,000 mesej pencegahan COVID-19 untuk diletakkan di persekitaran sekolah-sekolah ini.

Mesej-mesej yang disumbangkan adalah dalam bentuk poster, papan tanda, dan juga pelekat yang bertujuan memberi kesedaran tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mencegah penularan COVID-19.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini merupakan cara kami memberi sokongan terhadap usaha berterusan kerajaan menangani penularan COVID-19.

“Sebagai sebuah syarikat terkemuka, kami ingin memberi impak positif kepada masyarakat di sekitar lokasi operasi kami, terutama ketika kita masih berada dalam saat sukar dengan pandemik ini yang masih berleluasa.

“Semoga sumbangan mesej-mesej ini di sekolah mampu meningkatkan semangat #KitaJagaKita di kalangan murid, guru, ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah agar saling prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Sama-samalah kita beringat dan memastikan diri dan persekitaran kita sentiasa selamat daripada jangkitan wabak ini,” kata Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald’s Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas