Berita

McDonald’s Malaysia ketengah kisah ‘cikgu luar biasa’ buat inspirasi semua

- Diterbit 11 Mei 2021 9:38 AM MYT

KERJAYA guru atau pendidik merupakan satu profesion mulia kerana insan-insan istimewa ini memikul amanah mencorakkan anak bangsa bermula di bangku sekolah demi membentuk masa depan mereka.

Meluangkan masa bersama anak-anak murid bagi sesi pembelajaran dan pengajaran, sama ada di sekolah atau menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), semangat warga pendidik ini berupaya memberi inspirasi kepada anak-anak yang sedang meniti alam persekolahan.

Menghargai bakti insan istimewa ini, McDonald’s Malaysia menganjurkan Anugerah Guru Inspirasi buat kali kelima untuk ‘Cikgu Luar Biasa’ yang menjalankan tanggungjawab mereka melebihi tugas-tugas hakiki.

Anugerah ini menilai kebolehan guru mendidik dan menginspirasi murid melangkaui keterbatasan guru atau murid itu sendiri, oleh itu pencalonan ‘Cikgu Luar Biasa’ yang diterima dari seluruh negara bagi anugerah ini turut melibatkan guru daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau pendidik bagi murid OKU.

 

CABARAN LUAR BIASA 

Seorang guru istimewa yang menerima pencalonan Anugerah Guru Inspirasi 2021 ini, Maisura Abd Jalil merupakan pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru yang juga sekolah bagi kanak-kanak cacat penglihatan.

Menggunakan kerusi roda selepas menghidap penyakit buah pinggang, Maisura sentiasa optimis dan tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai batu penghalang untuk terus membantu anak murid istimewa beliau.

Adik kepada Maisura, Mardhiah Abd Jalil yang mencalonkan kakaknya bagi anugerah itu, berkata Maisura juga pernah ditugaskan sebagai guru kelas bagi kanak-kanak buta yang mempunyai kecacatan lain seperti buta dan pekak atau buta dan hiperaktif.

“Dalam keadaan beliau berkerusi roda, Cikgu Mai sangat positif sewaktu diberi tugasan ini sebab bagi beliau semua kanak-kanak berhak mendapat pendidikan dan boleh dididik.

“Mahir berbahasa isyarat, Maisura tidak pernah kering dengan idea-idea untuk mendidik murid-muridnya dengan menggunakan pelbagai kaedah dan pengalaman serta melatih murid sehingga mampu berkomunikasi dengan orang lain,” katanya.

 

PUPUK MINAT MURID TERHADAP ILMU

Sementara itu, guru SK Felda Mempaga 2, Karak, Pahang, Mohd Huzaire Ahmad yang juga pengguna kerusi roda, membuktikan guru perlu sentiasa proaktif dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran seiring perubahan zaman bagi memupuk minat anak murid kepada ilmu.

Anak muridnya, Putri Rania Assyifa Noor Mohd Irman, 11, mencalonkan Mohd Huzaire atas kreativiti beliau mendidik anak murid secara tidak bersemuka semasa sekolah ditutup ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Putri Rania Assyifa berkata penganjuran pertandingan secara dalam talian termasuk Pertandingan Nyanyian Solo bersempena Hari Guru dan Pertandingan Melukis Poster Ancaman COVID-19 oleh guru Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni itu berhasil menaikkan semangat muridnya untuk belajar meskipun terpaksa ‘berkurung’ di rumah.

“Sekurangnya kami terlupa dengan kebosanan duduk sahaja di rumah. Aktiviti ini sekurang-kurangnya mengubat hati kami yang rindu pada sekolah, guru-guru dan kawan-kawan,” katanya yang juga bercita-cita menjadi pendidik seperti Mohd Huzaire.

Kisah guru istimewa ini turut mendapat liputan stesen televisyen swasta bagi menginspirasi murid dan guru di seluruh negara agar terus bersemangat untuk belajar dan mengajar meskipun tidak dapat bersemuka di sekolah.

 

INSPIRASI, MOTIVASI BUAT MURID 

Guru di SMK Tanjung Bunga, Pulau Pinang Mohamad Huszaimi Husin pula dicalonkan pelajar beliau Jeffrey Soon Yew Zhi, seorang pelajar OKU dengan masalah pembelajaran yang mendapat inspirasi daripada kecekalan guru itu yang lebih mesra dipanggil Cikgu Mie.

Sifat empati guru subjek Teknologi Maklumat itu telah memotivasi Jeffrey memajukan diri dalam pelajaran walaupun beliau menghadapi kesukaran serta mengambil masa yang panjang untuk mempelajari sesuatu.

“Walaupun saya merupakan seseorang yang memerlukan masa yang lebih lama untuk menyiapkan tugasan yang diberikan, Cikgu Mie tidak pernah menggesa saya atau pelajar yang mempunyai kondisi yang bersamaan dengan saya untuk mempercepatkan proses penyiapan dalam tugasan yang diberi.

“Malah, cikgu menggalakkan saya untuk melengkapkan tugasan tersebut. Beliau sering mengorbankan masanya untuk mengajar subjek yang diajarnya secara peribadi selangkah demi selangkah,” katanya.

Selain itu, Jeffrey memaklumkan gurunya sering menggalakkan dan membimbing pelajarnya menyertai pertandingan dalam pelbagai peringkat serta memberi cadangan atau petunjuk agar pelajarnya menonjol dalam pertandingan itu.

Katanya beliau berjaya memenangi Pertandingan Video Kreatif 2020 peringkat negeri yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang hasil bimbingan gurunya itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas