Berita

MCCIN gesa pelan jangka panjang disedia atasi bencana alam

KEADAAN banjir yang melanda Johor baru-baru ini. - FOTO: Pengguna Facebook
- Diterbit 15 Januari 2021 6:40 AM MYT

JARINGAN NGO Pelbagai Agama Menangani Isu Perubahan Iklim (MCCIN) menggesa pelan jangka panjang meliputi rangka kerja bersepadu meliputi kerajaan Persekutuan, negeri, kementerian, jabatan dan agensi disediakan bagi mengatasi bencana alam daripada terus berlaku.

Ini kerana, kata penyelarasnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, kegagalan pihak berkuasa untuk mengemukakan pelan yang lebih bersepadu akan menyebabkan permasalahan banjir berulang kembali sekali gus menambahkan beban rakyat terlibat.

“Kerosakan prasarana seperti lebuh raya, jalan dan kemudahan awam akibat banjir pasti menelan belanja yang amat besar untuk dibaiki.

“Ia suatu pembaziran terhadap wang hasil titik peluh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Faisal turut menggesa isu-isu seperti aktiviti pembalakan tanpa kawalan, sungai yang tidak diselenggara dengan kerap dan pertambahan perumahan ditangani secara lebih berkesan.

Jelasnya, tanpa penegasan ke atas isu seperti itu, negara akan sentiasa berhadapan dengan kesan malapetaka besar sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti banjir dan penularan wabak COVID-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas