Berita

Mayat lelaki ditemui di perairan Labuan

- Diterbit 2 Januari 2021 2:29 PM MYT

MAYAT seorang lelaki yang tidak dikenali ditemui dalam keadaan terapung di perairan berhampiran Pulau Rusukan Kecil, Labuan pada jarak lebih kurang satu kilometer dari jeti kepulauan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 10.34 pagi mengenai penemuan mayat itu.

“Hasil siasatan mendapati mayat dipercayai lelaki yang dalam keadaan terapung pada jarak lebih kurang satu batu dari Pulau Rusukan Kecil.

“Ketika ditemui, mayat lengkap berpakaian dan berbaju jaket biru muda bertulis HENGYI,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal malah tiada kad pengenalan diri ditemui.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Polis Labuan meminta agar orang awam yang mempunyai maklumat tentang kehilangan mana-mana orang atau ahli keluarga untuk tampil ke balai polis bagi tindakan lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas