Selebriti

Maya Karin imbau kenangan sebelum bergelar pelakon filem terbaik

- Diterbit 30 November 2021 10:08 PM MYT

AKTRES terkenal, Maya Karin,42, mengaku boleh Tergelak besar apabila mengimbau semula kenangan saat permulaan menjadi pelakon sejak lebih dua dekad lalu.

Bagi Maya, pengalaman awal pembabitannya dalam bidang lakonan menghadiahkan pengalaman lucu, tetapi disifatkan amat berharga.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke mengakui, dirinya naif dan tidak mengetahui perkembangan dunia perfileman tempatan, malah, pernah melalui situasi terlalu dikaburi dengan wang ringgit hingga hampir memusnahkan kerjaya lakonannya.

“Masa mula ditawarkan berlakon filem Seri Dewi Malam oleh Aziz M Osman, saya sangkakan ia akan ditayangkan di kaca TV, walhal diterbitkan oleh produksi perfileman.

“Lebih memalukan saya tidak kenal aktor Hairie Othman yang digandingkan dengan saya hinggalah pihak produksi memaklumkan itu adalah pelakon utama filem Leftenan Adnan.

“Saya naif dan tidak tahu perkembangan industri perfileman tempatan. Malah, saya langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu pada masa itu.

“Mengenai filem sebuah filem komedi, sejujurnya saya menolak tawaran membintangi filem ini.

Namun, penerbit memujuk dan sanggup membayar dua kali ganda daripada bayaran asal.

“Apabila filem ini ditayangkan, saya dikritik teruk dan ramai yang menjangkakan kerjaya lakonan saya bakal berakhir,” katanya pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni menerusi topik Aku Pelakon Terbaik, baru-baru ini.

Pengalaman pahit itu ternyata mengajar pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini, duit bukanlah segala-galanya.

“Masa mula berada di lokasi filem ini, saya sudah rasa bagaikan ada yang tidak kena. Waktu itu berlaku kejadian ada ulat dalam nasi yang saya makan dan petugas produksi datang lewat.

“Jujur, saya akui membintangi filem ini adalah kesilapan paling besar buat saya.

“Pengalaman ini juga menyedarkan saya jangan buat sesuatu kerana duit. Walaupun duit itu penting, tetapi jika silap percaturan ia boleh memusnahkan kerjaya seni.

“Pesan saya, jika nak berlakon buat sepenuh hati dan jiwa, bukan semata-mata sebab wang,” ujar Maya yang bakal membawa watak utama dalam teater muzikal, Putri Santubong The Warrior Princess yang akan dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 11 dan 12 Disember serta ditayangkan secara langsung di www.puterisantubong.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas