Berita

Maxis edar PPE kepada keluarga yang memerlukan di Sarawak

- Diterbit 18 Januari 2021 8:38 AM MYT

MAXIS BHD (Maxis) bekerjasama dengan Hope Place, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Kuching, Sarawak untuk mengenal pasti masyarakat kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perlindungan peribadi (PPE) seperti pensanitasi tangan dan pelitup muka untuk kekal selamat ketika pandemik COVID-19 ini.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan sukarelawan daripada pejabat wilayahnya dan Hope Place telah mengedarkan pakej PPE kepada beberapa keluarga di Bau, Serian dan Siburan secara berperingkat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Pakej PPE juga dikongsi bersama Hope Place untuk kegunaan sukarelawannya bagi memastikan mereka tetap dilindungi ketika membantu komuniti terjejas, menurut kenyataan itu.

Ketua Pengurusan Jualan Wilayah Maxis di Sarawak Ben Ting Sii Hu dalam kenyataan itu berkata syarikat berkenaan gembira dapat meneruskan inisiatif amal perayaan bagi membantu mengurangkan beban masyarakat yang memerlukan.

Penyelia Hope Place Yong Tiong Yeng dalam kenyataan sama berkata sumbangan Maxis itu membolehkan pasukan sukarelawan menjalankan misi dengan selamat dalam memastikan golongan yang kurang berkemampuan di Kuching mempunyai akses kepada keperluan asas bagi meningkatkan kualiti hidup.

Baru-baru ini, Maxis telah menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara dalam menyokong bantuan berkaitan COVID-19.

Menurutnya, sumbangan itu akan melibatkan pemberian kira-kira 5,000 kotak makanan kepada masyarakat yang terjejas teruk oleh pandemik itu, serta peruntukan untuk pusat pemindahan banjir. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas