Berita

Masjid Tour sebar asas rukun ajaran Islam

ANTARA pelancong dari luar negara yang menyertai Program Masjid Tour bagi tahun 2023.
- Diterbit 6 Januari 2023 3:47 AM MYT

PIHAK pengurusan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur menganjurkan Program Masjid Tour bagi mempromosikan fungsi dan peranannya sebagai masjid pelancongan di ibu kota.

Program sempena sambutan tahun baharu itu adalah bagi menyebarkan konsep cinta (Al-Hub), kasih sayang serta perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kerukunan dalam ajaran Islam.

Menurut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), matlamat utama program tersebut adalah untuk menyantuni para pelancong dari dalam dan luar negara dengan pelbagai aktiviti menarik dengan dibantu oleh 15 orang pemandu pelancong dari Islamic Outreach ABIM Centre dan 50 orang sukarelawan dari Fakulti Pelancongan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Para pelancong didedahkan dengan pengenalan asas Islam dan kefungsian masjid, sejarah Kuala Lumpur dan masjid tertua di Kuala Lumpur serta disajikan dengan kuih-muih tradisional Melayu.

“Mereka juga berkesempatan menyertai aktiviti permainan sunah dan tradisional seperti memanah, menangkap ikan, boling tin, bola sepak, bola beracun, tiup belon dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, seramai 601 orang pelancong terdiri daripada warga negara Indonesia, Australia, Taiwan, Perancis, India, China, Denmark, Rusia, United Kingdom dan banyak lagi telah menyertai program tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas