Berita

Masjid Jamek Kampung Baru bantu asnaf, anak yatim

ZULKIFLI beramah mesra dengan salah seorang asnaf selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Sinar Kasih Ramadan 1441H di Dewan Masjid Jamek Kampung Baru hari ini.
- Diterbit 7 Mei 2020 8:42 AM MYT

KUALA LUMPUR – Masjid Jamek Kampung Baru meneruskan tradisinya memberikan sumbangan bagi membantu ahli kariah dalam kalangan asnaf dan anak yatim sempena Ramadan ini.

Meskipun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan setiap aktiviti perlu diadakan dengan berhati-hati bagi mengelak penularan Covid-19, bantuan kepada 636 anak kariah kampung itu tetap berjaya disampaikan.

Sebagai simbolik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Sinar Kasih Ramadhan 1441 H kepada kira-kira 20 asnaf dan anak yatim di Masjid Jamek Kampung Baru hari ini.

Zulkifli berkata, meskipun dalam suasana mencabar pada PKPB ini, semangat taawun (kerjasama) dan musaadah (membantu) tetap dapat dijalin.

“Usaha pihak masjid membantu anak kariah adalah satu perkara yang murni.

“Tahniah, ini satu usaha yang dapat meningkatkan hubungan baik pihak masjid dengan ahli kariah yang terdiri daripada kalangan anak yatim dan asnaf,” katanya dalam ucapan perasmian majlis itu.

Turut hadir Pengarah JAWI, Mohd. Ajib Ismail; Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali; Pegawai Tadbir Agama Zon 3, Syed Abdullah Syed Nordin dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Mohamad Khay Ibrahim

Hadir sama Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baharu, Idris Shaari.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, Masjid Jamek Kampung Baru menyediakan peruntukan sejumlah RM222,300 bagi mengagihkan sumbangan wang tunai RM300 kepada setiap 636 asnaf manakala 90 anak yatim menerima RM350 setiap seorang.

Selain itu, katanya, pihak masjid juga menyediakan beg barangan makanan bernilai RM108 setiap satu kepada 100 keluarga dengan kos RM10,800.

SEORANG petugas menyampai beg barang makanan sumbangan FIMA dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan kepada seorang penerima di Masjid Jamek Kampung Baru. 

Selain itu, Kumpulan FIMA dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut menyumbangkan 400 beg barangan makanan bernilai RM100 setiap satu kepada golongan susah di Kampung Baru. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas