Berita

Masih ramai majikan tidak patuh AKKP 1994 – MSOSH

- Diterbit 15 Oktober 2020 3:12 AM MYT

TIDAK terbayangkan betapa luluh hati ahli keluarga Cikgu Rosli Abdul Aziz tatkala menerima perkhabaran kematian beliau akibat terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah di mana beliau mengajar.

Menurut laporan media, insiden menyayat hati itu berlaku pada 14 Julai lepas ketika guru berusia 54 tahun yang mengajar mata pelajaran Matematik itu dilaporkan sedang memeriksa kawasan balkoni sekolah untuk memastikan sinki yang dipasang di dalam kelas berfungsi.

Beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Susulan daripada kejadian malang itu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia untuk berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan isu penyelenggaraan bangunan sekolah berikutan kejadian tidak dijangka ini.

Penulis juga pernah terbaca satu kisah menyayat hati dikongsikan seorang pemuda kepada sebuah akbar tempatan, perihal seorang lelaki warga Sabah yang mengalami kecederaan akibat mesin dikendalinya meletup ketika sedang bekerja. Majikan pemuda itu dilaporkan telah mengabaikannya tanpa sebarang tindakan susulan.

Dua insiden ini hanya sebahagian contoh kes kemalangan melibatkan pekerja di tempat mereka bertugas. Ada kes kemalangan yang secara terang-terangan menunjukkan ada majikan yang cuai dan culas terhadap pematuhan aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

MAJIKAN MASIH INGKAR

Umum mengetahui, setiap sesuatu perkara pastinya ada peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi. Sekiranya ada yang cuba melanggarnya, maka denda keras wajar dikenakan sebagai memberi pengajaran kepada orang lain.

Dalam sektor pekerjaan melibatkan pekerja kolar biru dan putih, Kementerian Sumber Manusia sebagai kementerian yang bertanggungjawab menetapkan satu garis panduan terperinci dinamakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

Naib Presiden 2 Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Zanuddin Kisman memberitahu Bernama, melalui peruntukan Seksyen 15, subseksyen (1) AKKP1994, adalah menjadi kewajipan am majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan – setakat yang praktik- setiap aspek keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerjanya semasa bertugas, dipatuhi.

Menurut beliau, subseksyen (2) (c) pula menjelaskan, tanpa menjejaskan keluasan makna subseksyen (1), perkara yang diliputi oleh kewajipan itu termasuklah pengadaan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan dan kesihatan pekerja yang sedang bekerja.

Namun begitu, apa yang mengecewakan beliau ialah masih ramai majikan dilihat sengaja ‘keras kepala’ untuk mengikuti peraturan yang ditetapkan, di samping turut mengabaikan aspek KKP di tempat kerja.

“Statistik terkini Januari hingga Jun 2020 yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan 85 pendakwaan dilakukan JKKP berkaitan AKKP1994, dan lima pendakwaan berkaitan Akta Kilang dan Jentera (AKJ) 1967 yang membawa penalti bernilai RM1,284,700,” katanya ketika ditemui di pejabat MSOSH di Shah Alam, baru-baru ini.

MSOSH turut menasihatkan supaya majikan perlu sentiasa melakukan analisa risiko KKP bagi setiap bidang tugasan yang akan dilaksanakan para pekerja bagi memastikan mereka dapat bekerja dengan selamat dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan.

SIAPA DOMINASI CARTA KEMALANGAN?

Menurut Zanuddin, JKKP mengeluarkan Indikator Utama Kemalangan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2019 yang menunjukkan data yang amat menakutkan dan perlu diambil cakna oleh pihak berwajib!

Data menunjukkan dari 15,073,400 pekerja di seluruh negara, kadar kemalangan ialah 2.71 orang per 1,000 pekerja, dan kadar kematian pula 3.83 orang per 100,000 pekerja.

Indikator ini membabitkan 10 sektor pekerjaan, dan subjek yang diambil kira ialah jumlah kes kemalangan melibatkan hilang upaya kekal (PD), hilang upaya tidak kekal (NPD), dan kematian di tempat kerja.

“Untuk kes PD dan NPD, sektor pembuatan mendominasi carta dengan masing-masing mencatatkan jumlah kes 214 dan 4,661, manakala sektor pembinaan mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 84 kes.

“Dengan itu, jumlah keseluruhan PD (281), NPD (7,444) dan kematian (259), menjadikan sebanyak 7,984 kes kemalangan berlaku sepanjang 2019 melibatkan 10 sektor pekerjaan ini,” katanya.

WUJUDKAN PENYELARAS KKP

Setiap masalah perlu ada jalan penyelesaiannya, begitu juga dengan pihak majikan yang mesti berusaha untuk memastikan tahap pematuhan setiap aspek KKP terus dipertingkat dan diperbaiki, di samping usaha merendahkan risiko berlakunya kes kemalangan di tempat kerja.

Dengan itu, Zanuddin melontarkan cadangan supaya majikan dapat menempatkan Penyelaras KKP di setiap tempat kerja yang bertanggungjawab menangani isu-isu KKP di tempat kerja khususnya bagi majikan yang tidak mampu menggaji Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) untuk membantu dan memberi nasihat berkaitan KKP.

Penyelaras KKP adalah seseorang pegawai serba cekap, daripada kalangan pekerja yang selesai menjalani modul-modul latihan dihasilkan JKKP. Matlamat utama penugasannya adalah untuk membantu pelaksanaan KKP yang lebih berkesan bagi syarikat yang berada dalam sektor Industri Kecil & Sederhana (IKS).

PEKERJA PERLU PATUH

Bukan sahaja pihak majikan yang perlu mematuhi peraturan akta yang ditetapkan, pekerja juga perlu menggalas tanggungjawab sama bagi memastikan kelestarian keselamatan di tempat kerja.

Berdasarkan Seksyen 24, kewajipan am pekerja yang sedang bekerja ialah memberikan perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas akibat tindakannya atau peninggalannya semasa bekerja, demikian jelas Zanuddin.

“Pekerja juga perlu bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu melalui Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

“Mereka perlu turut memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang disediakan majikan bagi maksud mencegah mana-mana risiko kepada keselamatan dan kesihatannya,” tambahnya.

TINGKATKAN PENALTI

Mengulas mengenai penambahbaikan AKKP1994, perkara paling penting ialah pemain industri perlu menyusun kembali kaedah pelaksanaan KKP yang lebih sistematik, selain penguatkuasaan yang lebih menyeluruh oleh pihak JKKP.

Perkara lain adalah keperluan untuk meningkatkan penalti sedia ada supaya pihak majikan lebih gerun untuk melanggar kesalahan akta.

“Setakat ini, sekiranya majikan melanggar mana-mana kesalahan akta, mereka boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Jika dilihat, nilai penalti ini terlalu rendah bagi majikan.

“Kita perlu hapuskan persepsi ‘saman mampu bayar’ ini supaya majikan berasa seriau nak langgar akta, jadi kita boleh tiru kadar penalti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 174) iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali. Dengan itu kita harap pihak majikan lebih berhati-hati terhadap pelaksanaan KKP di tempat kerja,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas