Artikel

Martabatkan tulisan jawi di KL

SALAH satu papan tanda jalan bertulisan jawi. SALAH satu papan tanda jalan bertulisan jawi.
- Diterbit 11 Oktober 2020 6:00 AM MYT

TULISAN jawi sebagai salah satu ciri warisan bangsa semakin kurang digunakan masa kini. Akhbar Utusan Melayu Jawi yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai wadah mendaulatkan tulisan jawi juga sudah lama ditutup.

Di Kuala Lumpur, tulisan jawi ini masih boleh dilihat, tetapi kebanyakannya hanya menghiasi bangunan lama. Tulisan boleh dilihat di kedai kopi, malah di kedai-kedai pajak gadai lama.

Semua tulisan siap terpahat dengan tulisan simen, menggambarkan ia dibuat ketika kedai-kedai tersebut dibina puluhan tahun lalu atau mungkin lebih seratus tahun.

Ertinya tulisan jawi diberi keutamaan ketika era tersebut. Namun pada bangunan baharu dan moden kini, ciri-ciri jawi ini sudah tiada.

Oleh itu Adi ingin mencadangkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif mengangkat martabat tulisan jawi di ibu negara. Langkah ini sudah dilakukan di beberapa negeri seperti Kedah, Selangor, Kelantan dan Pahang.

Sungguh menyejukkan mata melihat tulisan jawi terpapar di papan iklan, bank, kedai, bangunan pejabat kerajaan dan sebagainya, selain tulisan rumi.

Oleh itu, Adi syorkan agar Kuala Lumpur juga dihiasi dengan tulisan jawi. DBKL wajar mengkaji perkara ini. Selain pada bangunan, boleh letakkan tulisan jawi pada nama jalan.

Langkah ini akan menambah seri Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negara yang mempunyai susur galur sejarah berwarna warni sejak pembukaannya sehingga menjadi kota metropolitan kini.

Adi percaya ia akan meningkatkan lagi identiti Kuala Lumpur dan boleh menjadi ciri yang dibanggakan oleh bukan sahaja warga Kuala Lumpur tetapi seluruh rakyat Malaysia. Adi harap DBKL boleh memberi pertimbangan atas syor ini.

SAYANGI LIF DI FLAT, PPR ANDA

‘Lif rosak’. ‘Lif diconteng’. ‘Sampah dan kekotoran dalam lif’. Inilah antara insiden yang kerap berlaku ke atas lif-lif membabitkan flat kos rendah dan bangunan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Lif rosak pasti menyebabkan perkhidmatan untuk penduduk terganggu atau terhenti. Jika ada tiga lif dan dua daripadanya rosak, maka hanya satu boleh digunakan. Bagaimana jika ketiga-tiganya rosak? Terpaksalah mendaki atau menuruni tangga sehingga berbelas tingkat atau berpuluh tingkat.

Jika hanya membawa badan pun sudah pasti terasa deritanya mendaki tangga, apatah lagi jika membawa barang. Bebannya pasti berganda.

Kes vandalisme kerap berlaku, seperti menconteng lif dan menulis kata-kata lucah, malah ada yang membuang sampah dan kekotoran berbau dalam lif. Ini semua menyebabkan penduduk sangat tidak selesa apabila menggunakannya.

Malah butang penekan yang menentukan ke tingkat mana hendak naik atau turun, juga turut dirosakkan. Butang dicungkil dan wayar terkeluar.

Seringkali Adi hairan kenapa kes-kes seperti ini hanya kerap berlaku di flat kos rendah atau PPR, seperti laporan Wilayahku. Ini seolaholah menggambarkan mereka yang tinggal di kawasan tersebut tidak menghargai kemudahan yang disediakan sedangkan kerosakan lif akan hanya menyusahkan mereka sendiri.

Namun untuk berlaku adil, Adi percaya bukan semua bersikap demikian. Tetapi pasti ada segelintir di antara mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan ini. Apa tujuannya? Sekadar berseronok?

Tidakkah mereka sedar perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan penduduk tetapi mendedahkan mereka kepada risiko. Bayangkan jika ada penduduk yang sakit tinggal di tingkat tinggi dan perlu segera dibawa ke hospital. Alangkah sukarnya mendukung pesakit hingga ke bawah.

Perbuatan vandalisme terhadap lif seolah-olah sengaja dilakukan secara berterusan. Ini kerana Adi difahamkan apabila lif rosak dan dibaiki, ia kembali rosak setelah beberapa minggu digunakan penghuni PPR, sedangkan menurut pihak penyenggara lif disenggara menurut jadual.

Jika sikap penghuni tidak berubah, walau sekerap mana pun lif disenggara, ia tidak akan dapat bertahan lama. Kerosakan demi kerosakan akan terus berlaku dan kepayahan demi kepayahan akan terus ditanggung oleh penduduk.

Pada masa sama, Adi juga meminta pihak bertanggungjawab meneliti semua lif yang ada di flat kos murah dan PPR ini. Setiap lif yang sudah uzur perlu diganti kerana lif yang sudah lama juga lebih terdedah kepada kerosakan dan berbahaya digunakan.

Sebagai langkah pencegahan, mungkin pihak berkuasa boleh meletakkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam lif. Kamera ini boleh merakam perbuatan tidak bertanggungjawab pengguna. Namun ia perlu diletakkan secara tersembunyi. Jika tidak, kamera itu juga akan turut dimusnahkan.

Dalam apa keadaan pun, sikap penduduk yang paling utama. Mereka yang suka merosak atau mengotorkan lif ubahlah sikap. Penduduk wajar mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Jika tahu mengenai sesiapa yang merosakkan lif, laporkan kepada pihak berkuasa.

Adi berharap semua penghuni flat kos rendah atau PPR di Kuala Lumpur sentiasa menjaga lif di kediaman mereka. Sayangi lif anda kerana ia adalah harta awam milik bersama, untuk kemudahan bersama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas