Berita

MAQIS tahan enam ekor anjing import dari Taiwan

- Diterbit 8 Februari 2021 4:07 AM MYT

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan enam ekor anjing yang diimport dari Taiwan selepas nombor mikrocip pada haiwan itu didapati berbeza dengan dokumen permit import yang diisytiharkan.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dokumen dan fizikal haiwan berkenaan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 6 petang, 4 Feb lalu.

Sehubungan itu, haiwan terbabit ditahan dan dikuarantin untuk tindakan selanjutnya, kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata mengimport haiwan kesayangan dengan mengisytiharkan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan, merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Pihak MAQIS sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas