Berita

Maqis Perlis rampas 1.4 tan ikan basah

- Diterbit 9 April 2021 4:12 AM MYT

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis merampas 1.4 tan ikan basah bernilai RM5,600 kerana menggunakan dokumen yang mengelirukan.

Pengarah MAQIS Perlis Mohamad Arshad Raffin berkata pihaknya menahan sebuah lori  membawa pelbagai jenis ikan basah ke negara ini di Unit Kargo Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar  pada Isnin (5 April).

“Hasil  pemeriksaan mendapati bahawa  pihak pengimport membawa 1,400 kilogram (1.4 tan)  ikan basah yang diikrar pada permit MAQIS namun dokumen tersebut mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbuatan mengimport keluaran pertanian dengan mengemukakan dokumen palsu, tidak tepat dan mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011(Akta728).

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Arshad berkata pihaknya sentiasa memantau sebarang kemasukan dan keluaran melibatkan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas daripada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat ditetapkan kerajaan. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas