Berita

Mangsa kebakaran akan segera dibantu

- Diterbit 17 Januari 2021 8:29 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tampil menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Kilan, Labuan pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr Fary Akmal Osman berkata, pihaknya akan meyelaraskan beberapa bentuk bantuan dengan pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) bagi membantu membaikpulih rumah mangsa.

“PL akan meneliti sumbangan ehsan yang akan diberikan kepada mangsa bagi meringankan bebanan kepada  keluarga tersebut dalam masa terdekat.

“JKM melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sudah menyalurkan kit tabung bencana seperti tilam, bantal, selimut serta barangan asas yang lain,” katanya selepas meninjau keadaan rumah mangsa kebakaran, pada Sabtu.

Fary turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang ehsan, barangan elektrik dan kit bakul makanan kepada mangsa.

Hadir sama, Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad dan Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadli Md Said.

Tambahnya, pihak MAIWP juga akan meneliti bantuan dan sumbangan berdasarkan kelayakan yang sesuai dengan keadaan mangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas