Berita

Mangsa banjir kilat dibantu Agong

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, meluangkan masa bersama-sama Ketua Setiausaha Kementrian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berjalan kaki di sekitar Kampung Baharu dan melihat sendiri pembangunan di sekitar Kampung Baru.- FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 14 November 2020 5:32 AM MYT

SEJUMLAH 76 mangsa banjir kilat di Kampung Baru, Kuala Lumpur layak menerima bantuan tunai hasil sumbangan peribadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beberapa pihak yang prihatin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, keprihatinan Tuanku dan beberapa penyumbang lain termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membolehkan setiap mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau berkata, sejumlah RM189,200 sumbangan tunai yang disalurkan, sedikit sebanyak mampu meringankan beban ditanggung mangsa akibat banjir kilat yang melanda September lalu.

Kesemua mangsa katanya, terdiri daripada 72 keluarga yang terjejas masing-masing menerima RM2,500 manakala empat individu bujang layak mendapat RM2,300 seorang sebagai bantuan hasil daripada keprihatinan pelbagai pihak.

“Majoriti mangsa-mangsa banjir mereka di dalam kategori miskin yang bukan sahaja telah terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam membendung penularan COVID-19 tetapi turut kehilangan pekerjaan sebelum ini.

“Ditambah pula dengan musibah banjir kilat yang berlaku, ke semua mereka terpaksa menanggung kos kerugian akibat kerosakan dan kemusnahan harta benda termasuklah perabot, kelengkapan rumah serta barangan peribadi,” katanya di dalam Sesi Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir di Wilayah Persekutuan, di Dewan Serbaguna Kampung Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Kejadian banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat pada September lalu, menyebabkan semua mangsa terdiri daripada 18 orang warga emas, 238 dewasa, 65 kanak-kanak dan enam bayi dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di Kelab Sultan Sulaiman.

Kebanyakan mangsa adalah mereka yang tinggal di kawasan sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Raja Alang, Jalan Raja Mahadi, Jalan Raja Muda Musa dan Kampung Periuk, Kampung Baru.

Menurut Annuar, demi kesejahteraan khususnya warga Wilayah Persekutuan, pihak kerajaan telah dan sedang merangka pelaksanaan beberapa lagi inisiatif bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku apabila hujan lebat.

Katanya, antara inisiatif yang menjadi fokus KWP, DBKL serta Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPS WPKL) ialah, projek tebatan banjir termasuklah menyediakan kolam takungan air dalam kawasan Taman Botani Kuala Lumpur melibatkan peruntukan RM150 juta.

“Selain itu, usaha mempertingkatkan lagi sistem perparitan utama di sekitar Kuala Lumpur akan turut dilaksana di samping kerja membesarkan dan mendalamkan lagi 16 kolam takungan banjir yang sedia ada di Kuala Lumpur.

“DBKL juga bakal mensyaratkan setiap pemaju kawasan perumahan wajib menyediakan kolam takungan banjir di kawasan pembinaan projek perumahan yang dibangunkan. Walaupun keperluan ini memerlukan kos tambahan, namun ia diperlukan demi kepentingan rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas