Berita

Mangsa banjir di Puchong terima bantuan NGO

ROBIAH (kiri) diberikan penerangan mengenai banjir yang merosakkan salah sebuah rumah mangsa banjir di Kg Lancong, Puchong. ROBIAH (kiri) diberikan penerangan mengenai banjir yang merosakkan salah
- Diterbit 9 Januari 2022 6:00 AM MYT

KEBANYAKAN mangsa terjejas bencana banjir di Kampung Lancong, Puchong, Selangor lega apabila pihak Persatuan Kebajikan Masih Ada Yang Sayang (Pekemas) Kuala Lumpur dan Selangor tampil menghulur bantuan barangan keperluan harian.

Prihatin dengan nasib dialami mangsa berdepan kesukaran hidup, Pekemas-KLS bersama Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang menjayakan Misi Bantuan Banjir ke kampung yang terjejas akibat banjir bulan lalu.

Menurut Pengerusi Pekemas-KLS, Robiah Abd Rani, pasukan bantuan itu menyumbang pelbagai barangan keperluan seperti air mineral, peralatan mandian, pakaian terpakai, selain telekung hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap keperluan mangsa terjejas.

Katanya, bantuan yang disalur dijangka memanfaatkan kira-kira 50 keluarga terjejas di kampung tersebut yang turut berdepan kerugian harta benda selain terpaksa membanting tulang membersih rumah yang ditenggelami lumpur.

“Hasil sumbangan yang dikumpul daripada orang ramai selain peruntukan daripada NGO terbabit, digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan untuk mangsa.

“Walaupun sumbangan tidak sepenuhnya mampu memenuhi keperluan penduduk yang terjejas, ia sekurang-kurangnya dapat menampung kesulitan yang dihadapi oleh setiap keluarga terlibat dalam bencana banjir ini,” katanya selepas selesai Misi Bantuan Banjir di Kampung Lancong, Puchong.

Kedua-dua pihak itu turut meluangkan masa lebih dua jam meninjau kesan kerosakan dialami sambil diberi penerangan oleh beberapa orang penduduk mengenai banjir yang melanda kampung itu pada 28 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Robiah yang juga Ahli Jawatankuasa MPPWP Zon Bukit Bintang, tidak menolak untuk meneruskan misi bantuan ke kampung terbabit dengan mengusahakan kerjasama lebih meluas melibatkan pelbagai pihak berkemampuan.

“Jika dilihat kepada keperluan penduduk, antara keutamaan bagi mereka adalah perkakas elektrik, dapur memasak dan lain-lain barangan perlu.

“Untuk barang ini kami cuba bekerjasama dengan pihak berminat serta berkemampuan untuk menyalurkannya kepada penduduk di sini demi ringankan beban ditanggung,” katanya sambil menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu mangsa yang kini hidup serba kekurangan. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas