Berita

Malaysia bersih, hidup sejahtera

- Diterbit 31 Oktober 2019 8:33 AM MYT

Pada 21 Februari 2019, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kerajaan, ZURAIDA KAMARUDDIN telah mengumumkan untuk mewujudkan Dasar Kebersihan Negara.

Dasar ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih dan mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

Sempena majlis pelancaran dasar tersebut pada 3 November ini (Ahad) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Melaka, Wilayahku berkongsi pandangan bersama Zuraida mengenai dasar itu bagi membolehkan orang ramai bersama-sama menjayakannya.

Majlis pelancaran tersebut diadakan serentak dengan sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 dan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2019.

WILAYAHKU: Apakah hasrat kerajaan dalam mewujudkan Dasar Kebersihan Negara?

ZURAIDA: Dasar ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Pelaksaaan Dasar Kebersihan Negara akan bermula pada tahun 2020 sehingga tahun 2030 dengan semakan semula pada tahun 2025.

Apakah fokus pelaksanaan dasar ini?

ZURAIDA: Ia memfokuskan kepada lima kluster bersama 14 strategi komprehensif yang dijangka dapat menghasilkan outcome yang realistik dan berimpak tinggi. Dasar ini juga menggariskan 91 pelan tindakan bagi memperincikan pelaksanaan yang perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri, Kerajaan Tempatan dan agensi lain yang berkaitan.

Lima kluster yang digariskan dalam Dasar Kebersihan Negara adalah Kesedaran Terhadap Kebersihan;Kelestarian Alam Sekitar; Ekonomi Kitaran (Circular Economy); Tadbir Urus dan Penguatkuasaan dan Modal Insan yang Berkualiti dan Berkemahiran.

Apakah objektif dasar ini diwujudkan?

ZURAIDA: Melalui pelaksanan Dasar Kebersihan Negara, kita mahu objektif-objektifnya tercapai iaitu meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat; meningkatkan kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar. Kita juga ingin menggalakkan inisiatif sisa sebagai sumber pendapatan (waste to money) ke arah ekonomi kitaran (circular economy) dan memperkasa tadbir urus dan penguatkuasaan agar lebih cekap, berkesan dan berintegriti. Perkara ini selaras dengan komitmen negara untuk melaksanakan inisiatif di bawah Sustainable Development Goals (SDG) 2030.

Apakah isu dan cabaran bagi merealisasikan Dasar Kebersihan Negara?

ZURAIDA: Kerajaan sedar dalam melaksanakan dasar ini pasti ada cabaran yang perlu dihadapi. Antaranya sikap segelintir masyarakat yang masih tidak peka soal menjaga kebersihan. Sikap tidak mementingkan penjagaan alam sekitar boleh menimbulkan impak negatif dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sejahtera.

Pembuangan sampah yang tidak terurus, sikap membuang sampah merata-rata dan pembuangan sampah haram telah mewujudkan persekitaran yang kotor.

Persekitaran tidak bersih akibat pembuangan sampah sarap boleh menyebabkan timbulnya kacau ganggu kepada persekitaran seperti menyebabkan bau busuk, pencemaran alam sekitar seperti pencemaran sungai dan laut (marine litter).

Kawasan persekitaran yang tidak bersih juga menyebabkan kehadiran vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk yang menjadi punca penularan wabak penyakit. Penyakit bawaan vektor seperti demam denggi, malaria dan leptospirosis (kencing tikus) yang berpunca daripada persekitaran yang tidak bersih turut menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Menyedari cabaran itu, apakah sasaran yang ditetapkan di bawah Dasar Kebersihan Negara?

ZURAIDA: Kita meletakkan 10 sasaran utama yang telah ditetapkan pada tahun 2030 iaitu perubahan minda dan sikap masyarakat tentang aspek penjagaan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan alam sekitar.

Keduanya, perlu ada peningkatan kesedaran dan tanggungjawab melibatkan aspek kebersihan dalam setiap lapisan masyarakat melalui promosi dan publisiti berterusan. Ketiga, peningkatan tahap kebersihan negara. Keempat, pengurangan pencemaran alam sekitar.

Kemudian kita mahu sisa dihantar ke tapak pelupusan dikurangkan dan peningkatan kadar kitar semula. Keenam, penurunan kes penyakit bawaan vektor. Ketujuh, peningkatan kualiti dan kemahiran pekerja dalam sektor pembersihan.

Kita juga mahu lihat peningkatan penglibatan aktif komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta dalam program-program dan inisiatif yang dilaksanakan.

Kesembilan ialah pengukuhan tadbir urus dan penguatkuasaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Akhir sekali, dasar itu juga menyasarkan pengurangan pembiayaan kerajaan bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Apakah tindakan selanjutnya yang akan diambil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas Majlis Pelancaran Dasar Kebersihan Negara?

ZURAIDA: Kementerian merancang untuk mengadakan program libat urus (engagement) bersama pihak berkepentingan dan pemegang taruh bagi melaksanakan strategi dan pelan tindakan yang telah ditetapkan dalam dasar ini.

Bagi memastikan dasar ini berjaya dilaksanakan, apakah mekanisme pemantauan yang ditetapkan pihak kerajaan?

ZURAIDA: Mekanisme pemantauan pelaksanaan Dasar Kebersihan Negara ini adalah diletakkan di bawah Majlis Tindakan Daerah bagi peringkat daerah atau Pihak Berkuasa Tempatan; Majlis Tindakan Negeri bagi peringkat negeri dan Majlis Negara Kerajaan Tempatan bagi penyelarasan dan pemantauan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas