Berita

Malaysia akan terus main peranan penting peringkat antarabangsa – PM Muhyiddin

PUTRAJAYA, 2 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan khas yang disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen dan platform media sosial malam ini.
- Diterbit 1 Mac 2021 6:00 AM MYT

MALAYSIA akan terus memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa seperti yang dipamerkan menerusi kejayaan penganjuran Persidangan APEC 2020, dan juga hubungan luar negara dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata antaranya kerajaan akan meneruskan usaha secara menyeluruh bagi mewujudkan gelembung perjalanan dengan negara-negara yang berpotensi bagi memudahkan usaha pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata inisiatif itu penting untuk mengaktifkan kembali kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala dan seterusnya mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

“Dalam konteks ini, Malaysia telah merumuskan perjanjian Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) bersama Singapura pada 2020.

“Malaysia akan terus berusaha untuk mewujudkan RGL dengan negara-negara berkepentingan seperti China (termasuk Hong Kong, Macao dan Taiwan), Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Vietnam,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, hari ini.

Muhyiddin berkata di peringkat serantau, Deklarasi ASEAN mengenai pembentukan Aturan Koridor Perjalanan ASEAN (TCA) telah diterima pakai oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-37 pada November 2020.

Inisiatif itu akan membantu memudahkan perjalanan semula intra-ASEAN, dan seterusnya mampu mengaktifkan semula industri perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan intra-ASEAN yang telah terjejas disebabkan pandemik COVID-19, katanya.

Beliau berkata selain itu, Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 menjamin Malaysia sentiasa mempunyai akses kepada vaksin, termasuk vaksin generasi baharu, di samping berusaha memperluaskan pengiktirafan global sijil kesihatan digital atau pasport vaksin Malaysia dan memberi bantuan serta memudah cara kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengucapkan penghargaan kepada ketua perwakilan asing ke Malaysia di atas bantuan dan kerjasama mereka.

“Malaysia amat menghargai sokongan dua hala dan pelbagai hala yang diberikan, termasuk sumbangan peralatan perlindungan diri dan perubata seperti pelitup muka dan ventilator serta pertukaran kepakaran dalam menguruskan krisis COVID-19,” kata perdana menteri.

Tambahnya, perwakilan asing memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat tepat kepada komuniti asing di negara ini termasuk polisi-polisi berkaitan pemeriksaan kesihatan, operasi perniagaan dan kawalan sempadan.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan peranan Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kekal utuh khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan membabitkan pihak berkaitan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas