Berita

Makmur berniaga semua kaum

CENTRAL Market menjadi tumpuan rakyat pelbagai kaum menjalankan perniagaan kraf dan cenderamata.
- Diterbit 13 September 2019 9:55 AM MYT

Malaysia didirikan dan dimakmurkan dengan kebebasan berniaga dan berdagang sejak wilayahnya hanya di­kenali sebagai Hujung Tanah atau Semenanjung Emas dan pulau Brunei. Kemudian­nya menjadi Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara.

Pelabuhan di Kuala Kedah, Melaka, Kuching dan Labuan adalah kesemuanya me­nyaksikan kegiatan perniaga­an dan perdagangan kosmo­politan antarabangsa. Daripada pedagang-pe­dagang Okinawa, China, dari keseluruhan Nusantara, Siam, Vietnam, Burma, India, Parsi dan Arab.

Sebab itu juga penakluk-penakluk dari Eropah turut datang, Portugis, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Semuanya kerana per­dagangan dan perniagaan. Politik dan agama adalah kesan sampingan.

Orang Melayu adalah bangsa pesisir pantai dan sungai-sungai. Negeri-negeri Melayu berpusat di kuala­-kuala sungai. Kota Baru di Sungai Kelantan, Kuala Terengganu, Pekan di Sungai Pahang, Johor Lama di Su­ngai Johor, Melaka di Sungai Melaka, Kota Lukut di Sungai Lukut, Kuala Selangor, Kuala Kangsar di Sungai Perak dan Kuala Kedah.

Portugis, Belanda dan British menguasai Melaka sebab mahu menguasai kekayaan dari perdaga­ngan bebas antarabangsa di pelabuhan-pelabuhan itu. British juga menubuhkan pelabuhan di George Town, Butterworth, Port Weld, Port Swttenham, Port Dickson, Victoria di Labuan dan Jesselton.

Tetapi yang menjadi pusat perdagangan paling penting bagi negara ini ialah Kuala Lumpur. Kota ini makmur kerana kegiatan perniagaan dan perdagangan bebas pelbagai bangsa. Kedudukannya kemudian ditingkatkan atas sebab kepentingan politik dan agama.

Begitu juga dengan Putra­jaya dan Labuan sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Pusat komersial dan dagang Putrajaya tidaklah hebat tetapi tanpa kegiatan ekonomi, ia menjadi kota pentadbiran yang lesu. Kehadiran penempatan penduduk dan beberapa pusat perniagaan sekurang-­kurangnya menghidupkannya. Dari segi perniaga­an, Labuan mempunyai keistimewa­annya tersendiri.

Tidak seperti Kuala Lumpur yang merupakan kota sungai dan Putrajaya, kota tasik, Labuan adalah kota laut. Ia mempunyai pelabuhan dan merupakan pusat kewangan luar pantai antarabangsa bagi Malaysia.

Kuala Lumpur diasaskan di bawah Kesultanan Selangor yang bersemayam di Klang pada kurun ke-19. Orang Melayu yang mengerjakan usaha pertanian dan pelombongan timah di kawasan Ampang membawa hasilnya dari Hulu Klang dan Hulu Ampang melalui Sungai Klang dan Sungai Ampang diturunkannya di penambang di Kuala Ampang se­belum meneruskan perjalanan ke Pangkalan Lumpur di Kuala Gombak yang merupakan pertembungan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Di situ berlaku jual beli dan pertukaran barang dari pe­dagang yang datang dari Klang. Mereka kemudian membawa barangan ke Selat Melaka, disambungnya ke Melaka atau ke Pulau Pinang.

Penduduk Kuala Lumpur bertambah dengan kehadi­ran orang yang datang dari negeri-negeri di Semenanjung seperti Melaka, Johor dan Perak. Juga dari Sumatera, sama ada Minang, Mandailing, Palembang dan Aceh. Atau dari Jawa iaitu Semarang dan juga Bawean.

Tetapi kegiatan perlombongan dan perladangan di sekitar Kuala Lumpur membawa masuk pekerja dan pedagang dari India dan China. Pusatnya ialah berhampiran pangkalan Kuala Lumpur. Di situlah terdirinya kediaman pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa. Tidak jauh daripada situ terdapat pasar dan gerai-gerai. Semua orang berniaga mencari rezeki.

Di kawasan apa yang dipanggil Malay Street adalah pasar orang Melayu. Di se­belahnya dekat Sungai Bunus ialah pasar orang India. Di sebelah Sungai Klang diwujudkan pasar orang Cina. Semua orang berniaga di kawasan masing-masing. Ada kalanya kaum-kaum itu turut berurus di antara satu sama lain. Perniagaan dan perdagangan merentas semua kaum.

Pasar

Pasar Melayu itu berkembang dan kini di situlah tersergam Wisma Yakin. Penulis pertama kali me­ngunjungi kawasan itu pada tahun 1966 ketika itu, Wisma Yakin belum didirikan. Di tapak situlah terdapat gerai-gerai orang Melayu berniaga, dari baju sampai makanan. Malay Street kemudian menjadi Jalan Melayu.

Pasar orang India berkembang di Indian Mosque Street. Di situ kemudian didirikan bangunan-bangunan Selangor Mansion dan Mala­yan­ Mansion. Indian Mosque Street bertukar nama men­jadi Jalan Masjid India.

Pasar orang Cina menjadi pasar utama kerana daripadanya datang bekalan makanan. Beras yang datang dari pelbagai tempat di Selangor dibawa ke situ. Ada yang datang dengan kereta lembu, ada yang melalui Sungai Klang dan Sungai Gombak. Sayur-sayuran yang ditanam orang Cina dijual di situ. Juga daging-daging atau makanan buatan seperti tauhu. Dari mana kacang soya diperoleh? Mesti dari luar.

Apabila British menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran Selangor, Residen British yang merupakan penasihat semua urusan ne­geri kecuali soal agama dan adat istiadat, beliau membina rumah dan pejabatnya di atas bukit yang dahulunya bernama Kenny Hills dan kini adalah Bukit Tunku.

Antara perkara pertama yang British lakukan ialah membina sebuah jam besar supaya semua urusan hendaklah mengikut waktu yang ditetapkan. Maknanya mereka mesti merujuk pada jam itu. Waktu kerja pejabat adalah dari pukul lapan pagi hingga empat petang. Semua urusan rasmi wajib ikut waktu itu. Lepas waktu itu, tiada urusan lagi. Pihak swasta terpulang masing-masing.

Jam besar diletakkan di pasar kerana di situ penentuan waktu adalah perlu. Pejabat-pejabat dagang dan urusan kewangan menjadi sempit. Maka pasar dipindahkan ke hala selatan sedikit. Di situlah dijadikan Pasar Besar atau Central Market. Kawasan yang ditinggalkan pasar itu dipanggil Old Market Square, kini dikenali sebagai Medan Pasar.

Sungguhpun tiada pa­sar, kawasan itu kemudian dijadikan pusat pengedaran semua akhbar di Kuala Lumpur. Ketika itu ke­banyakan akhbar dicetak di kawasan Pudu, ia dibawa ke situ untuk diedarkan ke tempat lain. Semua waktu berpandu pada jam besar itu. Dengan berkumpul ke situ, semua akhbar pelbagai bahasa boleh diangkut sekali oleh pengedar-pengedarnya. Akhir­nya bidang ini dikuasai oleh pengedar kaum India.

Akhbar bahasa inggeris yang pertama, Malay Mail menjadi penting kerana di dalamnya disiarkan waktu kapal sampai di Port Swettenham. Malay Mail dilihat sebagai akhbar untuk Fede­rated Malay States seperti mana Straits Times adalah akhbar untuk Straits Settlements iaitu Singapura, Melaka dan Pulau pinang.

Central Market sememang­nya didominasi oleh kaum Cina tetapi ada ruang-ruang yang diperuntukan untuk orang Melayu dan India. Penulis seringkali juga membeli belah barang basah di Central Market pada sekitar tahun 1978 dan 1979 sebelum ia menjadi Pasar Seni yang ada hari ini.

Tumpuan penulis adalah pada satu sudut di mana terdapat peniaga Melayu yang menjual tempe dan sayur-sayur kampung seperti pucuk ubi, kangkung Melayu, jantung pisang, petai, jering, pegaga, ubi kayu, ubi keledek, daun pisang untuk buat kuih dan seumpamanya.

Tetapi ada kalanya penulis membeli juga dari peniaga-peniaga Cina seperti tauhu, tauge, telur asin dan lain-lain barang yang peniaga Melayu tidak menjualnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas