Berita

Majlis Perwakilan Pelajar sokong perkenalkan SIP kepada pelajar universiti

MAJLIS Perwakilan Pelajar menyokong Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diperkenalkan kepada pelajar universiti.
- Diterbit 15 Oktober 2021 9:33 AM MYT

SISTEM Insurans Pekerjaan (SIP) telah mewujudkan pelbagai kemudahan untuk membantu dan memelihara kebajikan pekerja-pekerja di sektor swasta yang hilang pekerjaan.

Bukan sahaja kepada pekerja malah pelajar lepasan universiti yang telah meneruskan pekerjaan sebagai pekerja sambilan harian atau lebih dikenali sebagai pekerja kontrak juga perlu diberi peluang untuk menikmati faedah ini.

Pandangan ini disokong oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Afifah Fitri Zulkarnain, 23, yang mengharapkan sistem ini diperkenalkan kepada pelajar universiti lebih awal.

“Saya ada membaca mengenai sistem ini dan bertanya kepada rakan sama ada mereka mengetahui mengenai sistem ini akan tetapi mereka mengakui kurang didedahkan mengenai kemudahan yang disediakan oleh Perkeso untuk sistem ini.

“Perlu diakui kebanyakan pelajar masih tidak tahu mengenai kepentingan dan kewujudan SIP lebih-lebih lagi pelajar lepasan universiti.

“Jadi adalah lebih bagus jika ia dapat didedahkan di peringkat awal bagi membantu mahasiswa membuat persiapan sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar,” katanya yang mengakui SIP membawa banyak kebaikan kepada pelajar lepasan universiti.

Afifah turut menekankan mahasiswa perlu mencari inisiatif sendiri dalam menyiapkan diri sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar dengan mengambil tahu mengenai perlindungan pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan dan juga syarikat.

Berkongsi pandangan yang sama, Muhammad  Hafizuddin Mohd Faisal, 23, mencadangkan Perkeso menambah baik polisi sedia ada buat pekerja awam kontrak.

“Kebanyakan pelajar lepasan universiti diambil bekerja sebagai pekerja kontrak jadi saya rasa Perkeso perlu mengkaji semula polisi terutama berkenaan pekerja awam kontrak bagi menjamin hak perlindungan mereka.

“Pekerja kontrak juga adalah pekerja. Saya harap majikan tidak membezakan kemudahan dan elaun perlindungan di antara pekerja tetap dengan golongan ini kerana mereka juga sepatutnya diberi perlindungan,” jelas MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Tambahnya lagi, pihak universiti juga perlu mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerjasama bersama Perkeso bagi memberi pendedahan di peringkat universiti.

“Saya rasa jalan terbaik, Unit Bimbingan dan Kaunseling di semua universiti boleh berkerjasama dengan pihak Perkeso untuk menganjurkan bual bicara mengenai kepentingan Perkeso di alam pekerjaan,” jelasnya.

Hafizuddin turut menegaskan, barisan MPP menyokong sepenuhnya SIP yang diperkenalkan oleh Perkeso ini selagi mana ia mendatangkan manfaat kepada golongan mahasiswa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas