Berita

Majlis Perancang Fizikal Negara pandang serius cadangan tambakan laut Pulau Pinang

TAMBAK LAUT PULAU PINANG
GAMBARAN cadangan Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
- Diterbit 7 Oktober 2019 7:34 AM MYT

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) memandang serius terhadap pembangunan tebus guna secara besar-besaran membabitkan cadangan pembangunan Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) yang mempunyai pelbagai isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Pulau Pinang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, kementeriannya melalui PLANMalaysia telah menerima permohonan daripada kerajaan negeri bagi mengangkat cadangan PSR untuk mendapat nasihat MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

”MPFN tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek tersebut tetapi telah menasihati kerajaan negeri melalui 18 nasihat yang telah digariskan berserta dengan ulasan dan nasihat-nasihat tambahan yang telah dikemukakan oleh beberapa kementerian.

”Kerajaan negeri telah dinasihatkan untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan ini dan memastikan keperluan-keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam jawapan lisan pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas); Sabri Azit (Pas-Jerai); Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) dan Awang Hashim (Pas-Pendang) berkenaan PSR dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Penilai Laporan Penilaian Impak Sosial Ke-15 pada 17 Mei lepas yang telah bersetuju untuk meluluskan dengan syarat dibuat beberapa penambahbaikan ke atas laporan tersebut.

”Setelah beberapa penambahbaikan dibuat, laporan SIA tersebut akhirnya telah diluluskan pada 29 Ogos 2019. Walaubagaimanapun, kelulusan SIA ini juga tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) dan kelulusan Fisheries Impact Assessment (FIA) kerana skop impak sosial adalah berhubung kait rapat dengan skop impak alam sekitar dan impak pembangunan terhadap sektor perikanan,” katanya.

Jelas beliau, antara langkah-langkah mitigasi yang telah dipersetujui melalui Pelan Pengurusan Impak Sosial adalah supaya
kerajaan negeri memberi perhatian kepada aspek-aspek peningkatan sumber pendapatan, menjamin sumber pendapatan nelayan dan impak sosial lain iaitu memberi perhatian kepada kesejahteraan psikologi, keselamatan marin, mengurangkan kacau ganggu semasa pembinaan dan pemuliharaan sosio-budaya setempat.

Selain itu, kata beliau, memandangkan laporan SIA yang dikemukakan itu dibuat berdasarkan pelan induk PSR, pihak pemaju dimohon perlu mengemukakan semula laporan SIA apabila pelan susun atur terperinci secara berfasa dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat MPFN di bawah Subseksyen 22(2A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

”Ini bermakna setiap fasa pembangunan yang telah ada pelan terperinci perlu diangkat kepada MPFN dan juga perlu mengemukakan semula Laporan SIA.

”Walaubagaimanapun, kelulusan projek bergantung kepada kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT).
Kerajaan negeri dan PBPT perlu memberi perhatian terhadap nasihat yang telah diberikan dalam Mesyuarat MPFN ke-31 sebelum meluluskan projek ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas