Berita

MAIWP rancang pelbagai program tingkat sosioekonomi asnaf

MOHD NIZAM (empat dari kanan) menyampaikan replika cek kepada ikon asnaf MAIWP, Diana Darman pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Arena, Bukit Kuda.
- Diterbit 21 Mei 2023 1:00 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan merancang pelbagai aktiviti dan program untuk membantu golongan asnaf seterusnya membangunkan sosioekonomi umat Islam di Pulau Bebas Cukai tersebut.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Yahya, pihaknya turut mempelbagaikan usaha-usaha kebajikan sosioekonomi dan juga pembangunan modal insan dalam masyarakat Islam.

“MAIWP sentiasa mengikuti perkembangan arus perubahan semasa dalam mempelbagaikan bantuan dan berusaha meningkatkan kemajuan sosioekonomi bagi memastikan kesejahteraan umat Islam melalui sistem pengurusan dan pembangunan yang berlandaskan hukum syarak.

“Ia meliputi pengurusan zakat, pembangunan modal insan dan pembangunan hartanah,” katanya semasa berucap pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Arena Bukit Kuda, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail; Panglima Wilayah Udara II Labuan Tentera Udara Diraja Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Wan Amin Hafiz Wan Mahmud dan Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad.

MAIWP turut menyalurkan peruntukan Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP di Labuan bagi tahun 2023 bernilai RM26,473,800 dan RM1,296,000 bagi program Agihan Makanan Usahawan Foodtruck MAIWP.

Pada majlis tersebut turut menyaksikan bekas asnaf, Diana Darman menerima Anugerah Ikon Asnaf MAIWP 2023. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas