Berita

MAIS sumbang RM50,000 untuk peralatan pengurusan jenazah COVID-19

SETIAUSAHA MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan tersebut adalah sebagai satu sokongan MAIS kepada maslahah ummah Islam di Selangor dalam menghadapi situasi getir penularan wabak COVID-19.
- Diterbit 21 Julai 2021 10:03 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sumbangan baitulmal berjumlah RM50,000 bagi penyediaan bekalan peralatan pengurusan jenazah COVID-19 di hospital di Selangor.

Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan peralatan seperti beg mayat dan set pakaian pelindung diri (PPE) disalurkan kepada Amal Valley Organization, pertubuhan yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), untuk menguruskan jenazah COVID-19 di hospital negeri ini.

“Kami difahamkan bagi pengurusan satu jenazah  COVID-19, memerlukan kos minimum sebanyak RM940.50 iaitu keperluan bagi satu beg mayat dan tujuh set PPE.

“Oleh itu, sebagai tanda kebersamaan MAIS dan JAIS dalam urusan melibatkan maslahah ummah ini, sumbangan disalurkan bagi melancarkan urusan pengebumian kerana ia perlu diuruskan oleh pasukan yang terlatih serta berpengalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berkata sumbangan tersebut adalah sebagai satu sokongan MAIS kepada maslahah ummah Islam di Selangor dalam menghadapi situasi getir penularan wabak COVID-19.

“Pengurusan jenazah adalah haddul kifayah umat Islam dan perlu disegerakan setiap pengebumiannya. Oleh itu, dengan adanya sumbangan ini dapat melancarkan lagi pengurusan jenazah COVID-19 yang berbeza pengurusannya dengan pengurusan jenazah biasa,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi Amal Valley Organization, Dr Azfar Hussin mengucapkan terima kasih kepada MAIS atas sumbangan berkenaan memandangkan keperluan PPE meruncing apabila bilangan jenazah COVID-19 semakin bertambah dan dana semakin berkurangan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas