Berita

Mahkamah benar permohonan Hindraf cabar keputusan RoS batal pendaftaran

- Diterbit 22 Februari 2021 1:34 PM MYT

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini membenarkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membatalkan pendaftaran kumpulan itu.

Hindraf yang diwakili peguam Annou Xavier ketika dihubungi berkata Hakim Datuk Mariana Yahya membenarkan permohonan anak guamnya untuk kebenaran semakan kehakiman selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak melalui prosiding dalam talian.

“Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan permohonan semakan kehakiman,” katanya.

Pada 22 Dis tahun lepas, kumpulan itu menerusi pemimpinnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy memfailkan  kebenaran untuk mencabar keabsahan dua keputusan berhubung pembatalan pendaftaran kumpulan itu.

Pertama melibatkan keputusan ketua pengarah RoS pada 30 Sept 2019 untuk membatalkan pendaftaran kumpulan itu dan kedua adalah keputusan menteri Dalam Negeri pada 7 Ogos tahun lepas yang mengekalkan keputusan pertama.

Hindraf menuntut pengisytiharan bahawa kedua-dua keputusan pembatalan pendaftaran itu adalah tidak sah dan terbatal; perintah untuk menggantung sementara kedua-dua keputusan itu sementara menunggu permohonan semakan kehakiman. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas