Berita

MAHA 2022: Bekalan beras percuma setahun menanti pengunjung BERNAS

BEKALAN beras percuma selama setahun iaitu hadiah utama dalam pertandingan Teka Berat Beras.
- Diterbit 3 Ogos 2022 4:24 AM MYT

PADIBERAS Nasional Bhd (BERNAS) dalam meneruskan tradisinya menyertai pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) di MAEPS, Serdang bakal menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang menjanjikan hadiah menarik kepada pengunjung.

BERNAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengunjung ke pameran yang bermula esok hingga 14 Ogos itu berpeluang memenangi bekalan beras percuma selama setahun iaitu hadiah utama dalam pertandingan Teka Berat Beras yang akan dianjurkan di Dewan A, pusat pameran itu.

“Tempat kedua akan memenangi bekalan beras untuk enam bulan dan tempat ketiga pula bakal memenangi bekalan beras selama tiga bulan,” menurut kenyataan itu.

Jelas BERNAS, pengunjung hanya perlu menjawab beberapa soalan mudah dan meneka berat satu replika beras yang terletak di ruang pameran itu untuk memenangi hadiah berkenaan.

Pada masa sama, syarikat itu juga akan menganjurkan pertandingan gambar kreatif bertemakan gambar beras atau padi melalui platform media sosial yang turut menawarkan hadiah lumayan berbentuk wang tunai sehingga RM1,000.

Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang menguji kekuatan fizikal untuk mengangkat kampit beras dalam pertandingan Badang BERNAS pada 2 petang, 13 Ogos nanti.

Menurut kenyataan itu juga, sempena MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ itu, BERNAS akan mempamerkan informasi menarik mengenai tanggungjawabnya melestarikan industri padi negara.

Orang ramai yang berkunjung ke tapak pameran BERNAS di Laman Padi pula boleh menikmati keenakan juadah bubur lambuk istimewa selain singgah ke Kilang Padi Mini BERNAS yang akan mendemonstrasikan pemprosesan padi. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas