Berita

MAFI cari penyelesaian kenaikan harga makanan haiwan ternakan

- Diterbit 9 Mac 2021 7:58 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan dengan pengeluar makanan haiwan ternakan berasaskan isirung kelapa sawit bagi memastikan penternak mendapat bekalan bahan itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata langkah itu diambil bagi mencari penyelesaian terhadap ketidakstabilan harga makanan haiwan ternakan yang kini dikatakan meningkat.

“Sebagaimana yang kita maklum, salah satu bahan makanan untuk haiwan ternakan itu adalah daripada isirung kelapa sawit, isirung kelapa sawit memang kita keluarkan di negara kita, cuma pengeluar ini telah pun ada kontrak di luar negara yang mereka eksport bahan ini.

“Jadi kebanyakan isirung ini dieksport. Kementerian akan cuba berbincang dengan pengeluar ini supaya sebahagian isirung dapat juga kita kekalkan dalam negara untuk kegunaan dalam negara,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah kilang pemprosesan ayam dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media pada 4 Mac mengenai keluhan golongan penternak berhubung kenaikan kos makanan haiwan ternakan dan meminta kerajaan campur tangan bagi mengawal keadaan itu.

Che Abdullah berkata berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar, memang terdapat kenaikan harga bahan itu antara tiga hingga lima peratus ketika ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi lain yang berkenaan bagi mencari jalan bagaimana pengeluaran makanan haiwan ternakan dapat ditingkatkan bukan sahaja daripada isirung kelapa sawit tetapi juga daripada hasil tanaman lain seperti jagung.

“Saya pun dalam masa terdekat akan cuba berbincang dengan pengeluar makanan (haiwan ternakan) ini sendiri yang mana saya akan melawat pengeluar makanan ini untuk kita dengar sendiri apa masalah mereka sehingga harga bekalan makanan haiwan ini naik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan penternak mengambil inisiatif sendiri untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan antaranya dengan menanam rumput napier bagi mengelakkan mereka terus terkesan dengan kenaikan kos. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas