Berita

LTAT garis pelan pemulihan lima tahun

NIK Amlizan Mohamed (kiri) pada sidang akhbar perisytiharan dividen LTAT baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 6:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menggariskan enam teras utama sebagai perancangan jangka panjang dan proses tranformasi pemulihan tempoh lima tahun badan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Amlizan Mohamed (gambar) berkata, enam teras yang digariskan adalah melalui pengenalan visi, misi dan nilai teras LTAT.

“Pengenalan teras ini adalah untuk memberikan panduan dan memperkukuh tadbir urus korporat, mempertingkat pengurusan pemegang berkepentingan strategik, meningkatkan pulangan pelaburan yang mampan, memperbaiki infrastruktur dan membina pengurusan bakat,’’ katanya pada sidang akhbar perisytiharan dividen LTAT di sini baru-baru ini.

Terdahulu Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin mengumumkan dividen dua peratus untuk ahli LTAT bagi tahun kewangan berakhir 2018 dengan jumlah agihan RM161.2 juta, angka terendah dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau berkata, pendapatan bersih tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta iaitu penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding tahun lalu RM459.5 juta.

Tahun lalu LTAT umumkan dividen 12.5 peratus. Bagaimanapun, dividen itu dilaporkan berlebihan berbanding pendapatan yang diperoleh.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas