Berita

Lolos PKPD: Polis pertingkat kawalan keselamatan semua lokaliti PKPD KL

SUSULAN kejadian tiga lelaki meloloskan diri dari kawasan PKPD, polis Kuala Lumpur akan meningkatkan usaha bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan bagi membendung perkara itu. Kredit foto oleh: BERNAMA SUSULAN kejadian tiga lelaki meloloskan diri dari kawasan PKPD polis Kuala Lumpur akan meningkatkan usaha bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan bagi membendung perkara itu. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 5 Julai 2021 8:51 AM MYT

POLIS akan memperketatkan tahap kawalan di semua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan kejadian tiga lelaki meloloskan diri dari kawasan PKPD Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Kampung Pasir, di sini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan memberi jaminan kejadian sedemikian tidak akan berulang.

Beliau berkata polis Kuala Lumpur akan meningkatkan usaha bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan bagi membendung perkara itu.

“Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di kesemua 19 lokaliti di bawah PKPD di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada 30 penghuni Projek Perumahan Rakyat di Sentul Murni, di sini.

Semalam, media melaporkan polis mengenal pasti dua daripada tiga lelaki tempatan yang melarikan diri menerusi pagar kawat duri dari kawasan PKPD di sebuah PPR di Jalan Kampung Pasir, di sini.

Dalam perkembangan lain, Yong berkata lebih 90 peratus warga polis kontinjen Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini dan akan memastikan ia mencapai 100 peratus dalan masa terdekat.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas