Berita

Literasi media ‘kunci’ cabaran era siber

- Diterbit 7 September 2020 2:48 AM MYT

CABARAN era siber yang meliputi antaranya gangguan dan buli siber, penipuan, penularan berita palsu dan tidak benar serta pelbagai lagi, menuntut kepada agenda pemerkasaan literasi media dalam pelbagai peringkat rakyat.

Literasi media yang merujuk kepada keupayaan masyarakat dalam mengakses, memahami, menganalisis dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat, turut berkait rapat dengan kematangan mereka dalam mengendalikan teknologi komunikasi siber.

Meskipun negara mempunyai peruntukan undang-undang seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan beberapa akta lain yang boleh diguna pakai dalam menangani ‘ancaman’ seumpama, namun perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah pengamalan kawalan kendiri individu terutama dalam mengendalikan laman sosial masing-masing.

‘WABAK’ SIBER

Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, laporan ‘BBC Science Focus Magazine’ menyatakan bahawa pada tahun 2020, dunia disajikan dengan 1,200 petabytes maklumat (bersamaan 1.2 juta terabytes).

Jumlah maklumat ini hanyalah data dari empat buah syarikat teknologi komunikasi utama dunia iaitu Google, Amazon, Microsoft dan Facebook, tidak termasuk dari sumber lain.

Ironinya, mesej yang cuba disampaikan ialah masyarakat di seluruh dunia ketika ini berhadapan dengan lambakan maklumat.

Dan apa yang lebih membimbangkan ialah apabila maklumat itu tidak dipastikan kesahihannya, diolah, ditokok-tambah lalu disebar dan menjadi tular seterusnya memberi implikasi buruk kepada masyarakat dan negara.

“Selepas kira-kira 30 tahun Internet diperkenalkan, kebebasan penyaluran dan perkongsian maklumat semakin menjadi kelaziman. Kepantasan perkembangan teknologi komunikasi siber beserta kebanjiran maklumat yang sukar dikawal telah mencetus pelbagai permasalahan baharu melibatkan jenayah siber, buli siber dan penularan berita tidak benar.

“Senario ini boleh diumpamakan sebagai ‘wabak’ siber yang boleh ‘membarah’ jika masyarakat tidak disediakan dengan pendidikan mengenai literasi atau celik media yang memerlukan rakyat mengamalkan kawalan kendiri,” katanya kepada Bernama.

Memetik laporan agensi kreatif global ‘We Are Social dan Hootsuite’ (https://wearesocial.com), Mohd Khairie berkata terdapat 3.8 billion (hampir separuh populasi dunia) pengguna media sosial yang aktif.

Laporan itu turut menyatakan 81 peratus populasi rakyat Malaysia atau kira-kira 26 juta orang adalah pengguna aktif media sosial.

“Data ini memberi gambaran betapa interaksi siber terutamanya media sosial mendominasi aliran maklumat negara. ‘Defisit’ kepercayaan terhadap media arus perdana termasuk beberapa institusi lain yang terlibat turut menambah kepada cabaran maklumat era siber ini.

“Seluruh masyarakat perlu mengambil langkah segera bagi memupuk pembudayaan literasi media. Ia boleh dimulakan dengan tindakan paling asas, contohnya, membangkitkan persoalan seperti “adakah cara saya mengendalikan media sosial betul dan bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat atau sebaliknya”,” jelasnya.

LIBATKAN SEMUA PERINGKAT

Meskipun literasi media dianggap sinonim dengan golongan muda, namun pendidikan mengenainya perlu dipromosi dan dipupuk di setiap peringkat seperti di sekolah rendah dan menengah, peringkat pengajian tinggi, masyarakat dewasa hatta warga emas kerana golongan itu tidak terkecuali terlibat dengan komunikasi siber.

Sebarang ‘pengecualian’ atau kelompongan di mana-mana peringkat hanya akan membantutkan usaha pembudayaannya.

Di samping itu, pelbagai pihak sama ada kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan perlu menggerakkan agenda pemupukan kesejahteraan siber seperti menganjurkan minggu kesejahteraan siber dan anugerah tokoh kesejahteraan siber dalam usaha menggalakkan amalan dan tatacara mengendalikan media sosial.

“Mereka yang menerima atau mengesan mana-mana ‘amalan’ tidak sihat dalam media sosial, perlu berani melaporkannya kepada pihak bertanggungjawab. Sebagai pengguna perlu memastikan maklumat yang diperoleh adalah dari sumber yang menyakinkan dan bersifat institusi, bukan daripada sebarang individu yang tidak dipastikan latar belakang.

“Mereka yang gemar menjadikan media sosial medan ‘melepas’ dan meluah perasaan juga perlu menjadi lebih matang dengan menyelesaikan masalah secara bersemuka dengan pihak terlibat berbanding menggunakan media sosial sebagai platform. Tindakan sebegitu hanya akan mengundang ruang untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan termasuk melakukan penipuan.

“Hadkan penggunaan media sosial untuk tujuan yang jelas dan bermanfaat dan sentiasalah berusaha mencari maklumat dan mempelajari pelbagai kaedah untuk kesejahteraan siber,” katanya sambil menambah langkah paling mudah untuk ‘mematikan’ rantaian maklumat yang tidak jelas manfaatnya ialah dengan tidak berkongsi perkara yang tular.

MAJLIS LITERASI MEDIA

Malaysia juga mungkin perlu mempertimbang untuk mempunyai indeks atau kaedah pengukuran yang jelas bagi menunjukkan tahap literasi media negara kerana di negara barat dan Eropah khususnya, penanda aras telah dibangunkan dan penilaian turut dijalankan. Contohnya, ‘European Policies Initiative’ yang memperkenalkan indeks literasi media dalam kalangan negara anggota EU.

“Sebagaimana dinyatakan oleh pemikir dalam bidang komunikasi siber, Jean Gabin Ntebutse dan Simon Collin, literasi atau celik media dan kesejahteraan siber perlu difahami dalam kerangka sosio-budaya, politik dan ekonomi sesebuah komuniti.

“Untuk itu, sudah tiba masanya bagi para pemikir serta penyelidik komunikasi dan media merangka indeks literasi media negara. Walaupun terdapat kajian terdahulu berkaitan literasi media, namun konsep literasi media hari ini lebih kompleks serta memerlukan pentafsiran dan pengukuran baharu yang lebih relevan,” katanya.

Bagaimana pula dengan peruntukan undang-undang sedia ada? Adakah ia mencukupi bagi mengekang dan mengawal isu ancaman siber?

Menjawab persoalan itu, Mohd Khairie berkata, walaupun undang-undang sedia ada dilihat mampu menangani isu-isu berkaitan salah guna dan jenayah siber namun adalah lebih baik sekiranya sebuah agensi khas ditubuhkan bagi menyelaras dan menggerakkan agenda literasi media secara lebih sistematik.

“Agensi yang ada sekarang seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih mengkhususkan kepada kawal selia teknologi komunikasi di samping beban tanggungjawab agensi itu juga semakin mencabar dengan kepesatan teknologi semasa hari ini.

“Negara boleh mengambil langkah segera dengan menubuhkan Majlis Literasi Media yang menerajui usaha pendidikan awam berhubung celik media dan kesejahteraan siber di samping berperanan menasihati kerajaan dalam hal-hal berkaitan.

“Dengan adanya insiatif penubuhan majlis ini, langkah-langkah yang lebih tersusun dan menyeluruh dapat dirangka dengan mengembleng kepakaran ahli akademik dan golongan profesional serta pentadbiran,” katanya sambil menambah negara maju termasuk negara jiran Singapura telah melaksanakan perkara itu.

ELAK JADI BUDAYA

Berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata isu ancaman siber yang turut menjadi kebimbangan di mana-mana negara, boleh mengundang kepada suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat majmuk sekiranya langkah pencegahan dan pendidikan tidak dijalankan.

“Ruang interaksi bebas yang membenarkan sesiapa sahaja melontar pandangan, berkongsi apa sahaja dalam media sosial serta menularkan maklumat yang diperoleh, bukan sahaja boleh mempengaruhi persepsi umum bahkan berisiko mengundang kepada salah faham, agenda fitnah dan hasutan.

“Tanpa tindakan pengawalan dan usaha pencegahan ia boleh mengakibatkan masyarakat terbiasa dengan perlakuan ini sekaligus menjadikannya sebagai suatu keseronokkan dan budaya hidup,” katanya sambil menambah kebimbangan jangka panjang ialah ideologi pemikiran generasi akan datang dipengaruhi oleh apa sahaja yang disajikan dalam media sosial.

Pada 1 Sept lepas, Kementerian Perpaduan Negara mengingatkan pengguna media sosial agar sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dalam interaksi menerusi dunia maya bagi memelihara perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sikap segelintir pengguna media sosial yang tidak menjaga perkataan dan adab ketika memuat naik status dilihat membimbangkan dan boleh mengganggu- gugat keamanan negara.

“Kuasa media sosial sangat hebat dan berpengaruh, banyak pengguna yang berselindung di sebalik akaun identiti palsu dan mengeluarkan komen tidak sopan dan menyinggung. Kita perlu menambah baik amalan dan budaya media sosial, perlu ada semak dan imbang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas